Sukan Hari Ini

Bersedia sarung jersi negara

Kuala Lumpur: Pemain kacukan Francisco Javier Insa Bohigues menyatakan kesediaan bagi menyarung jersi Harimau Malaysia andai mendapat kepercayaan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Pemain kelahiran Sepanyol berusia 29 tahun itu yang turut dikenali sebagai Kiko Insa sudah memiliki kad pengenalan Malaysia dua minggu lalu dan kini mewakili Pahang.

Malah Kiko Insa berkata, penghormatan besar bagi dirinya jika mendapat peluang menyertai skuad Harimau Malaysia.

“Jika diberi peluang sudah pasti saya gembira kerana untuk mewakili skuad kebangsaan adalah impian setiap pemain bola sepak. Penghormatan besar buat saya kerana sebelum ini tidak pernah bermain di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

“Saya masih baru di sini, banyak lagi yang perlu dipelajari dan perbaiki. Sudah pasti saya berminat untuk bermain dengan pasukan Malaysia jika dipilih,” katanya memetik sumber Arena Metro.

Terdahulu dilaporkan Kim Swee berminat untuk memanggil Kiko Insa menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2017 bermula Mac depan namun perlu meneliti status pemain pertahanan itu terlebih dulu.

Pengendali itu mengakui sudah memantau perkembangan Kiko Insa dalam dua perlawanan bersama skuad Tok Gajah sebelum ini dan menganggap kehadiran bekas pemain kelab divisyen tiga Sepanyol CD Alcoyano itu boleh memantapkan bahagian pertahanan.

Kiko Insa yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia kerana neneknya berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia biasa beraksi di posisi pertahanan tengah namun tidak mempunyai masalah bermain di bahagian tengah bersama Pahang.

“Memang saya lebih banyak bermain pertahanan tengah sebelum ini tapi sekarang dengan Pahang, saya bermain di bahagian tengah.

“Saya tiada masalah dan hanya mengikut arahan jurulatih kerana sedar Pahang mempunyai dua pemain yang bagus di posisi itu (pertahanan tengah).

“Saya percaya Malaysia memiliki ramai pemain bagus. Saya ada melihat perlawanan Johor DT (Johor Darul Ta’zim) dengan Kedah pada Piala Sumbangsih dan tertarik dengan cara permainan dengan pemain menunjukkan kebolehan dari segi taktikal serta teknikal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");