Sukan Hari Ini

‘Bukan Pengakhiran Untuk JDT’

Kekalahan JDT pada aksi play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini bukan satu pengakhiran buat mereka memburu tempat beraksi di pentas Asia, kata pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Tunku Ismail sebaliknya menyifatkan Harimau Selatan semakin hampir merealisasikan impian berkenaan kerana mereka sudah berada di landasan yang betul.

Katanya, peningkatan dipamerkan sejak kebelakangan ini membuktikan JDT mampu untuk meraih kejayaan.

“Dalam bola sepak, semua perkara ambil masa. Dulu, kami cuba untuk berada di Piala AFC, setiap tahun kami berusaha melayakkan diri dalam pusingan kelayakan ACL dan setiap tahun kami semakin hampir.

“Tahun pertama kami tewas 3-0 bermain dalam pusingan kelayakan, tahun kedua kami kalah dengan penalti. Tahun ini kami berada dalam perlawanan penentuan ACL menentang Gamba Osaka.

“Kami dapat melihat bahawa kami semakin dekat dan rapat, dan bagi saya itu adalah perkara yang sangat positif kepada kelab,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut kekalahan kepada Gamba Osaka di Stadium Suita City kelmarin, Tunku Ismail berkata, beliau tetap positif dan menganggap layak beraksi sehingga ke penentuan play-off sebagai satu kejayaan besar buat bola sepak negara dan wajar dibanggakan.

“Hari ini kita dapat melihat dengan jelas taraf bola sepak Asia. Gamba Osaka kelab nombor lima di Asia, dan pada saya, melihat JDT bermain dengan pasukan yang lebih baik, hebat, ianya satu kegembiraan dan penghormatan serta saya berbangga melihat JDT yang meskipun gagal dalam perjuangan memenangi perlawanan penentuan kelayakan ACL, namun telah berada di pusingan ini selama tiga tahun berturut-turut.

“Pada saya ia adalah satu pencapaian yang besar dan saya amat berbangga. Terima kasih kepada penyokong atas segala sokongan, terima kasih juga kepada pihak pengurusan kelab. Kita dapat melihat bahawa kelab ini sedang menuju ke arah yang betul,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan JDT akan beraksi dalam saingan Kumpulan F Piala AFC bersama Magwe FC (Myanmar, Global FC (Filipina) selain pemenang aksi play-off antara wakil Kemboja, Boeungket Angkor dan Lao Toyota dari Laos.

JDT mencipta sejarah muncul kelab pertama negara meraih kejuaraan AFC pada 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");