Sukan Hari Ini

Cavani, Di Maria pamer bisa benam Bordeaux

BORDEAUX: Edinson Cavani dan Angel Di Maria mencuri tumpuan ketika kedua-duanya menjulang Paris Saint Germain (PSG) meraih kemenangan 3-0 ke atas Bordeaux, awal pagi tadi.

Kemenangan itu dilihat pemanas badan terbaik buat PSG sebelum menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Rabu ini.

PSG kini menyamai Monaco dengan 55 mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan dan pendahulu Ligue 1 itu hanya dijadualkan bertemu Metz, awal pagi esok.

Perlawanan pagi tadi menyaksikan Marco Verratti membuat penampilan semula bersama PSG selepas tersisih empat perlawanan terakhir ekoran kecederaan betis.

Jurulatih PSG, Unai Emery juga kembali mendapatkan khidmat penjaga gol utama mereka, Kevin Trapp manakala Thiago Silva diberikan rehat untuk aksi bertemu Barcelona nanti.

Dalam aksi pagi tadi, Cavani hanya memerlukan enam minit ketika melakukan voli menarik untuk meletakkan PSG di depan sebelum Di Maria menambah derita lawan, lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Di babak kedua, Cavani terus mempamerkan sentuhan jaringan berbisa apabila menyumbangkan gol kedua pada minit ke-47 sekali gus melengkapkan peratusan jaringan peribadi satu gol dalam setiap perlawanan.

– AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");