Berita Hari Ini

Dapatkan pengesahan sebelum ikuti program universiti asing

KUALA NERUS: Rakyat Malaysia perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa di luar negara bagi mengesahkan kewujudan atau kelayakan program yang ditawarkan institusi pendidikan antarabangsa.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata langkah itu bagi mengelakkan mereka daripada tertipu dengan sindiket yang menjual kelulusan akademik palsu yang dijalankan secara dalam talian.

Katanya, kegiatan itu dilihat semakin serius dan amat berleluasa pada masa kini kerana ia ditawarkan secara dalam talian.

“Bagi institusi di negara ini, orang ramai boleh menyemak di Jabatan Pengajian Tinggi atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sebaliknya jika membabitkan institusi pendidikan di luar negara, cara yang terbaik adalah menghubungi pihak berkuasa negara terbabit.

“Melalui cara itu, kita akan mengetahui dengan terperinci sama ada sesebuah institusi itu berdaftar atau tidak, namun apa yang penting adalah masyarakat perlu peka bahawa tiada jalan singkat untuk mendapatkan ijazah,” katanya selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Tinggi (ICTLHE) 2017 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mahadzirah Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif Open Learning Global (OLG) Pte Ltd, Adam Brimo.

Terdahulu, Siti Hamisah turut merasmikan Studio e-Pembelajaran UMT yang dilengkapi kemudahan teknologi realiti tambahan (AR) bagi pembangunan penyediaan kursus pembelajaran dalam talian atau Massive Open Online Courses (MOOC) di UMT di bawah jenama UMTMOOC.

Kemudahan terbaharu itu menjadikan imej kelihatan ‘hidup’ dengan video utama bagi setiap kursus UMTMOOC dapat dimainkan secara terus dengan aplikasi UMTMOOC-AR yang dimuat turun melalui aplikasi Google Play ke semua jenis telefon pintar.

Siti Hamisah berkata, sehingga kini seramai 350,000 pelajar di seluruh negara mendaftar untuk mengikuti MOOC membabitkan keseluruhan 223 program di 20 institusi pengajian tinggi tempatan termasuk 11 universiti awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");