Jenayah

Dicekup Ketika ‘Ralit’ Minum Arak

KUALA TERENGGANU : Meskipun sering dimarahi isteri dan keluarga, ianya tidak menjadi penghalang kepada seorang lelaki memilih minum arak setiap hari sejak 10 tahun lalu.

Lelaki berusia 50 tahun itu mengaku kepada penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas ditangkap ketika sedang ‘ralit’ menikmati minuman keras tersebut di sebuah medan selera di Kampung Tiong, di sini, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan dilakukan pihaknya kira-kira jam 10.30 malam, hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan tidak sihat membabitkan kaki minum beragama Islam di beberapa lokasi di kawasan bandar raya di sini.

Jelasnya, medan selera yang diserbu itu merupakan antara lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan dan pilihan kaki minum melepaskan gian ketagihan pelbagai jenis minuman keras.

“Semasa serbuan dilakukan, lelaki yang bekerja sebagai mekanik penyaman udara ini sedang ‘ralit’ menikmati minuman keras seorang diri sehingga langsung tidak menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Bagaimanapun, sejurus dihampiri penguat kuasa serta diperkenalkan diri, lelaki itu seolah-olah dalam keadaan ‘khayal’ dan mungkin disebabkan itu dia langsung tidak melawan atau cuba melarikan diri.

“Hasil siasatan mendapati terdapat minuman keras di mejanya sebelum dia mengaku meminum minuman haram itu kerana ketagih dan sukar untuk berhenti walaupun sudah dinasihati isteri serta ahli keluarga,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Wan Mohd berkata, lelaki yang mengaku sudah 10 tahun menjadi kaki minum itu ditahan di bawah Seksyen 23 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Dalam masa sama, Wan Mohd menegaskan pihaknya akan berusaha habis-habisan untuk menangani serta menumpaskan kegiatan minum minuman keras dalam kalangan umat Islam hari ini.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering menjadi pilihan dan tumpuan kaki minum melepaskan ketagihan, malah serbuan dan pemantauan berterusan akan dilakukan di lokasi terlibat.

“Kita amat memandang serius berhubung kegiatan umat Islam yang sanggup meminum minuman keras yang secara jelas disebut di dalam Al-Quran sebagai minuman yang haram dan boleh membawa banyak kemudaratan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");