Berita Hari Ini

Dr Madinah Dilantik Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa Rabu ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Madinah menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari ini.

“Berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenankan pelantikan ini untuk tempoh 23 Februari 2017 hingga 22 Februari 2019,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Madinah, 60, berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sarjana Sains dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama, masing-masing dari Universiti Putera Malaysia (UPM).

Selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan sebelum bersara wajib pada 3 September tahun lalu, beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ali berkata, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ambrin atas khidmat beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara sejak 23 Januari 2006, khususnya dalam usaha mentransformasi dan menstruktur semula sistem pengauditan kerajaan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");