Perak Hari Ini

Eksplotasi Pekerja: 18 Orang Termasuk Kanak-Kanak Diselamatkan

IPOH :Seramai 18 orang berjaya diselamatkan termasuk kanak-kanak menerusi Op Pintas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, awal pagi tadi.

Mereka yang diselamatkan terdiri daripada 11 dewasa berusia 27 hingga 64 tahun termasuk enam wanita, dua remaja lelaki berusia 13 dan 17 tahun dan lima kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia dua hingga tujuh tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Gan Tian Kee berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Beliau berkata, sepasang suami isteri berusia 44 dan 24 tahun yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemerdagangan manusia itu turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Mengulas lanjut, Gan berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori, sebuah kereta, kad pengenalan, buku catitan dan salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sijil kelahiran dan kad pengenalan sementara.

“Salah seorang mangsa ada menyatakan majikan mereka (suspek) pernah memukul mereka sekiranya tidak membuat kerja-kerja diladang, ditipu berkaitan gaji dan diugut sekiranya bertanyakan berkaitan gaji.

“Suspek juga didakwa ada memaksa mangsa kanak-kanak untuk bekerja di ladang kelapa sawit tanpa sebarang gaji atau upah,”katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya lagi, semua mangsa yang diselamatkan itu adalah warga tempatan dan akan ditempatkan sementara waktu di rumah perlindungan di beberapa negeri termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, berdasarkan negeri asal mereka.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");