KUALA LUMPUR: Pembinaan Fasa 2 Transit Aliran Massa (MRT) kini 95 peratus siap dan akan beroperasi mengikut jadual menjelang Julai depan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ini akan memperluaskan jaringan pengangkutan awam rel dan bas, sebagai tambahan kepada projek Fasa 1 membabitkan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang dilancarnya pada 15 Disember lalu.
“Saya dimaklumkan bahawa jumlah pengguna MRT di negara kita sudah melebihi sejuta orang sejak dilancarkan. Teringat kembali perkara pertama yang menarik perhatian saya ketika menaiki MRT adalah kecanggihan teknologi dan trennya yang memastikan perjalanan yang lancar, laju dan senyap.
“Cukup selesa bagi saya sepanjang perjalanan di dalam tren. Platform yang dibina juga sangat luas dan mesra pengguna termasuk kemudahan untuk orang kurang upaya,” katanya, lapor Berita Harian
Fasa 2 MRT membabitkan laluan Semantan-Kajang menghubungkannya dengan laluan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, Sri Petaling, Ampang dan Monorel.
Perdana Menteri turut berkongsi maklumat mengenai pembinaan MRT Fasa 2 berserta gambar yang diterimanya dalam laporan dari semasa ke semasa daripada MRT Corp.
Katanya, Fasa 2 melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas pengangkutan awam.
Beliau berkata, bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar, laluan Sungai Buloh-Kajang Fasa 2 bakal mempunyai enam stesen pertukaran yang menyambungkan rangkaian MRT dengan rangkaian perkhidmatan tren yang lain seperti LRT, KTM, Monorel, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.
“Stesen MRT ini adalah Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Maluri dan Kajang. Kemudahan Park N’ Ride turut disediakan di stesen MRT terpilih di bawah Fasa 2 Laluan Sungai Buloh-Kajang seperti Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukong, Sungai Jernih dan Kajang,” katanya.