PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mengakui beliau sangat sedih apabila ‘perang dingin’ di antaranya dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei disifatkannya semakin parah.
Namun, legenda badminton Denmark itu tidak mahu memberikan sebarang ulasan, sebaliknya meminta semua pihak bersabar selain harap dapat diselesaikan segera.
“Sudah tentu saya sedih kerana kemelut ini sampai ke tahap ini. Namun mari kita melangkah ke hadapan. Apa pun, saya tak nak komen lanjut. Ada kalanya berdiam diri itu lebih baik,” katanya memetik sumber Sinar Harian.
Ketika ditanya mengenai reaksi Chong Wei terhadap usahanya untuk ‘berdamai’, Frost akui mereka masih memerlukan sedikit masa untuk memulihkan keadaan.
“Ya, kami masih perlukan sedikit masa. Keadaan seperti ini agak sukar tetapi saya akan terus beri khidmat terbaik kepada pemain di sini.
“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera agar kedua-dua pihak gembira,” katanya lagi.