Sukan Hari Ini

Ghaddar Sandaran Utama Kelantan

PERTEMUAN antara Kelantan dengan Melaka United pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini akan menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) itu diperkuatkan dengan penyerang import sensasi, Mohamed Ghaddar.

Khidmat bekas pemain antarabangsa Lubnan itu menjadi sandaran utama dalam usaha mereka memburu tiga mata ke atas skuad Sang Kancil, kata jurulatih The Red Warriors TRW, Zahasmi Ismail.

“Dia (Mohamed Ghaddar) akan mengetuai jentera penggempur setelah seorang lagi penyerang, Alessandro Celin terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua minggu kerana mengalami kecederaan ketika bertemu Kedah, Sabtu lalu.

“Saya percaya kehadiran dia bukan sahaja dapat menyuntik kekuatan pasukan malah memberi satu motivasi penting kerana kita amat memerlukan seorang pemain import yang berada di barisan depan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, Mohamed Ghaddar yang sudah beraksi 300 minit termasuk kempen Piala FA memberi isyarat dia kini bersedia kembali menggegar gawang setelah meledak tiga gol saingan liga, setakat ini.

“Tahap pemulihan kecederaan dia baharu mencapai 70 peratus namun saya nampak dia begitu bersungguh hendak bermain esok (ini), tidak seperti sebelum berdepan Kedah, tempoh hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahasmi memberitahu, kemenangan ke atas Melaka United amat penting buat pasukannya selepas rekod tanpa kalah mereka lebur kepada Kedah, baru-baru ini.

“Bagi saya, itu (tewas kepada Kedah) sudah berlalu dan semua pemain perlu memandang ke depan dan lebih fokus menghadapi cabaran seterusnya.

“Sudah pasti kita tidak boleh kalah lagi, lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri. Kita perlu kutip mata penuh walau apa cara sekali pun bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali berusia 50 tahun itu memberitahu, dia akan membuat sedikit rombakan di bahagian pertahanan dan tengah bagi memperkukuhkan corak permainan mereka.

“Rombakan itu perkara biasa, lebih-lebih lagi kita akan menghadapi Selangor, selepas ini. Mungkin saya akan meletakkan seorang tonggak berpengalaman untuk digandingkan dengan Danso (Mamadou) di bahagian pertahanan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");