Isu Panas

Hanya orang ‘hilang akal’ tuduh BR1M rasuah – Idris Haron

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan tuduhan pihak tertentu kononnya sumbangan kerajaan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah kepada rakyat disifatkan sebagai merapu dan hilang akal.

Ini kerana, katanya, bantuan itu bukan saja dinantikan dengan penuh kesyukuran oleh rakyat yang kurang berkemampuan, tetapi juga menjadi antara penyumbang untuk mengurangkan beban golongan berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan keadaan ekonomi semasa, pembayaran sumbangan secara tunai dilihat lebih praktikal dan berkesan kerana menerusi kaedah itu, pemimpin akan dapat bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan penerima.

“Saya menyampaikan sendiri BR1M kepada penerima dan mereka jelas ceria dan bersyukur, sekali gus menolak tanggapan buruk daripada segelintir pihak terhadap bantuan kerajaan itu.

“Antara maklum balas yang diperoleh, mereka (rakyat) masih memerlukan BR1M secara tunai kerana bagi mereka ia sangat mudah dan bermakna. Justeru, saya katakan kepada mereka bahawa kita wajib mensyukuri nikmat yang Allah berikan ini,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan BR1M peringkat Parlimen Tangga Batu di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 949 penerima membabitkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen itu menerima bantuan terbabit, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM390,000.

Idris berkata, BR1M juga dapat diteruskan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Pembangkang sudah pasti tidak mampu untuk meneruskan bantuan berkenaan kerana selama ini mereka hanya mengejar untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara, berbanding mendengar serta merasai denyut nadi rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");