Perak Hari Ini

Henti Tularkan Isu Berus Bulu Babi

BATU KURAU : Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta agar orang ramai tidak menularkan lagi isu penjualan berus bulu babi.

Beliau berkata, isu tersebut kini dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu untuk mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna.

“Sebenarnya saya melihat isu ni dimainkan menjadi seolah isu politik yang besar. Kita kena menerima hakikatnya bahawa kita hidup dalam keadaan suasana yang harmoni, di mana kita hidup dalam negara yang berbilang kaum dan berbilang agama.

“Maka sudah tentulah ada orang yang silap faham, ada orang yang tidak memahaminya, maka kita ambil pendekatan supaya kita lakukan secara yang lebih berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SK Sungai Ara, di sini, hari ini.

Hamzah turut berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu tersebut dan ia telahpun diumumkan semalam.

Tambahnya lagi, perjumpaan juga telah diadakan dengan wakil-wakil penjual bagi membincangkan isu terbabit yang kini tular di media sosial.

“KPDNKK mengambil serius isu tersebut dan ianya perlu ditangani secara berhemah kerana ia melibatkan masalah hak umum,”katanya.

Hamzah berkata, setakat ini, anggota penguatkuasa KPDNKK akan turun padang memberi penerangan dan nasihat kepada para penjual.

Terdahulu, Hamzah telah mengarahkan agar Bahagian Penguatkuasa KPDNKK menghentikan serta-merta serbuan dan rampasan ke atas premis perkakasan binaan yang menjual berus dipercayai diperbuat daripada bulu babi.

Hamzah juga telah memberikan tempoh sebulan kepada mereka untuk melabel dan mengasingkan berus cat atau produk lain berunsur babi sebelum tindakan susulan diambil.

Selepas berakhir tempoh yang diberikan, peniaga yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut mengikut Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");