Berita Hari Ini

Herman Tino, dari buruh kasar jadi penyanyi

JIKA penyanyi muda Aiman Tino menjadi fenomena dan pilihan peminat hari ini, Herman Tino atau nama lengkapnya, Masrun bin Tamsi, 63, juga pernah mengecap populariti serupa sekitar 1980-an dahulu.

Album Melayu Deli (1982) dan album solo pertamanya, Mengapa Dikenang Mengapa Difikir (1983) menjadi titik-tolak perjalanan kerjaya seninya.

“Saya ini sebenarnya seorang budak kampung yang bekerja sebagai buruh kasar, tetapi menyimpan cita-cita yang tinggi untuk bergelar artis rakaman dan tidak pernah walau sekalipun berputus asa biarpun beberapa kali berdepan dengan penolakan.

“Kebanyakan penolakan itu bukan kerana menafikan bakat nyanyian saya tetapi lebih kepada penampilan dan keadaan fizikal saya yang barangkali tidak memenuhi kehendak komersial,” akuinya jujur.

Bagaimanapun, peluang akhirnya menyebelahi Herman apabila percubaan kali kedua menjalani ujian suara di syarikat rakaman EMI berjaya kerana Nasir P Ramlee dan komposer popular, S Atan mengutamakan bakat.

“Pada awalnya label susah untuk menerima saya kerana menyangka saya ini seorang pendatang tidak sah dari Indonesia kerana lidah saya terlalu pekat bertutur dalam lenggok bahasa Jawa selain penampilan saya yang sedikit berbeza dari yang lain,” katanya.

Di sebalik kejayaan album Melayu Deli, Herman turut berkongsi cerita di mana pada mulanya rancangan S Atan untuk menggandingkan dia dengan Sharifah Aini hampir tidak menjadi kenyataan.

“Ketika itu Sharifah Aini menolak untuk berduet dengan saya, namun S Atan tetap mahukan saya dan Sharifah Aini berduet. Jadi, dia menyuruh saya merakam lagu duet itu secara rahsia dan berasingan tanpa pengetahuan Sharifah Aini.

“Bila lagu itu keluar, Sharifah Aini terkejut, tetapi dalam masa yang sama dia datang mengucapkan terima kasih dan melahirkan rasa kagumnya kepada bakat nyanyian saya sehingga lagu itu diterima ramai,” imbasnya sambil ketawa kecil.

Antara lagu-lagu popular Herman yang masih diingati sehingga kini ialah Mengapa Dikenang Mengapa Difikir, Yale Yale, Pelita Dalam Kabus, Kamar Sepi, Cinta Tertahan Tahan, Kupendam Biarpun Parah dan banyak lagi.

Bersaing dengan kualiti

Bercerita tentang cabaran utamanya bergelar artis rakaman ketika itu, kata Herman, segalanya adalah tentang kualiti.

“Pada era itu, kebanyakan penyanyi semuanya bagus-bagus dan mempunyai bakat hebat yang sukar ditandingi seperti Sharifah Aini, Sudirman Hj Arshad, DJ Dave, Aman Shah, Gaya Zakri dan ramai lagi.

“Jadi jika mahu terus bersaing, saya harus menjaga kualiti pada setiap persembahan dan album yang saya tampilkan kepada khalayak kerana pada ketika itu, tanpa kualiti maka tiadalah populariti,” katanya yang cukup terkenal dengan identiti kain pelikat di bahu.

Mengimbas kenangan lalu, kata Herman, satu kejadian yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidupnya adalah ketika pertama kali melihat banyak surat peminat yang dihantar kepadanya.

“Suatu hari polis telah datang ke rumah di Tanjung Karang dengan membawa telegram yang menyatakan pengurus besar EMI mahu saya datang ke pejabat dengan segera pada keesokan harinya.

“Apabila berjumpa pengurus memarahi saya kerana pulang ke kampung dalam tempoh yang lama dan langsung tidak dapat dihubungi sedangkan ketika itu semua orang cari saya termasuk peminat serta pihak media yang mahu memberikan publisiti.

“Saya diarah masuk ke stor untuk membalas surat peminat dan alangkah terkejutnya saya melihat berguni-guni surat untuk Herman Tino sehinggakan saya terus menangis kerana ketika itu barulah saya percaya bahawa nyanyian saya sudah diterima pendengar,” ceritanya dalam nada sebak.

Pada hari sama juga, buat kali pertama Herman menerima wang royalti hasil penjualan album pertama.

“Apabila saya melihat angka yang tertera pada cek yang diberikan itu berjumlah RM1,870, saya katakan kepada pengurus, kenapa perlu diberikan terlalu banyak kepada saya, cukuplah hanya RM1,000 saja kerana ia sudah mencukupi buat saya.

“Namun pengurus itu memaksa saya menerimanya kerana katanya wang itu adalah hak saya dan dia juga membetulkan penglihatan saya kerana jumlah yang tertera itu bukanlah RM1,800, tetapi sebenarnya RM18,700.

“Saya ingat lagi, selepas itu saya terus tunaikan cek tersebut di bank dan bawa balik wang tunai yang hanya disimpan dalam poket baju untuk ditunjukkan kepada bapa saya di kampung,” kenang Herman yang juga merupakan suami kepada pembaca berita dan DJ radio RTM, Noraini Ibnu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");