Membawang Hari Ini

Ifa Raziah Perlu Terus Berehat

Penyanyi, Ifa Raziah sering mengalami batuk dan demam yang teruk serta pedih ulu hati sejak berada di Jakarta sepanjang November dan Disember lalu bagi memenuhi undangan sebagai komentator untuk program realiti D’Academy Asia musim kedua.

Sekembalinya ke tanah air, Ifa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur awal Januari lalu. Selepas menjalani ujian endoskopi, doktor mendapati penyanyi dangdut itu mengalami masalah hati bengkak dan usus luka.

“Saya terus ditahan di wad selama tiga hari untuk diberikan rawatan lanjut. Selain itu, terdapat juga masalah lain iaitu kolesterol tinggi, banyak asid dalam perut, sembelit, lubang usus besar atau disebut sebagai hiatus hernia.

“Doktor turut memaklumkan berat badan saya berlebihan dan perlu kurangkan 20 kilogram. Selepas mengetahui punca penyakit dalam perut yang menyebabkan saya rasa sangat tidak selesa, doktor mahu saya menjalani pembedahan.

“Namun, saya minta tangguh kerana perlu siapkan kerja dulu,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Selepas berbincang dengan doktor, Ifa dimasukkan semula ke hospital pada 3 Februari lalu dan dibedah keesokan harinya. Pembedahan itu berlangsung selama empat jam

“Alhamdulillah, saya selamat menjalani pembedahan dengan menggunakan teknologi terkini di mana segala penyakit dalam perut dirawat melalui lima tebukan di perut.

“Sebaik saja sedar, doktor menasihatkan saya berjalan perlahan-lahan dan melakukan senaman ringan untuk melancarkan perjalanan darah.

“Makanan saya juga dipantau pakar pemakanan dan pakar fisioterapi pula mengajar saya cara bernafas, berjalan, duduk dan baring dengan betul. Nak batuk pun kena ada caranya. Saya juga ada masalah sakit belakang dan pinggang. Pemantauan daripada pakar fisioterapi itu juga untuk merawat penyakit dari dalam,” katanya.

Menurut Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, hari pertama selepas pembedahan dia hanya boleh minum saja dan pada hari kedua, pakar pemakanan menyediakan menu untuk sebulan.

“Saya hanya dibenarkan mengambil makanan lembut seperti bubur dan nestum bayi yang paling halus. Selepas ini saya akan pastikan mengambil makanan yang betul bukan saja untuk turunkan berat berat, tetapi juga untuk menjaga kesihatan,” katanya.

Ifa dijangka keluar hospital hari ini dan berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kembali sibuk dengan aktiviti seni termasuk mengacara.

“Alhamdulillah, undangan menyanyi tidak putus, malah ketika saya berada di hospital masih ada tetapi terpaksa ditolak. Untuk Mac, jemputan sudah ada jadi sempatlah saya berehat sehingga benar-benar sembuh,” katanya yang juga hos program Jom Singgah (TV3).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");