Jenayah

Ikat Perut Sebab Nak Beli Nombor Ekor

KUALA TERENGGANU :Teruja kerana pernah memenangi hadiah RM2,500, seorang lelaki berusia 60 tahun sanggup mengikat perut dengan menghabiskan wang bantuan bulanan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 semata-mata ingin membeli nombor ekor.

Namun, aktiviti tidak bermoral lelaki berusia 60 tahun itu akhirnya terbongkar selepas dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Padang Nanas, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari dibuat susulan aduan daripada orang awam memaklumkan aktiviti penjualan nombor ekor yang begitu aktif melibatkan kaki judi golongan warga emas di sekitar kawasan kampung berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan, didapati rumah kedai yang sudah usang itu sedang dikunjungi ramai ‘peminat’ nombor ekor dan majoriti daripadanya adalah golongan warga emas.

“Sejurus menyedari kehadiran kami, mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri masuk ke dalam kawasan semak berhampiran namun lelaki itu yang mengakui dirinya merupakan seorang gelandangan tidak sempat berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohd berkata, pemeriksaan ke atas lelaki yang turut mengakui hidupnya memang bergantung sepenuhnya pada wang bantuan itu menemui sebanyak 12 keping nombor ramalan dipercayai baru dibeli sebelum mengakui sering berkunjung ke kedai tersebut sebelum ini untuk membeli nombor ekor.

Katanya, selain lelaki terbabit, seorang nelayan berusia 47 tahun turut ditahan dipercayai baru selesai membeli enam keping nombor ekor yang disorokkan di dalam poket seluar dipakainya.

“Lelaki itu turut mendakwa sebelum ini selalu bertandang ke kedai tersebut untuk membeli nombor ramalan dan memaklumkan mengetahui aktiviti penjualan nombor ekor di kedai terbabit melalui rakan baiknya sebelum ini.

“Kedua-dua lelaki tersebut ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana berjudi dan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah daerah Kuala Terengganu pada 2 Mei depan,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Mohd berkata, kebanyakan pemilik kedai atau tempat penjualan nombor ekor didapati masih tidak serik beroperasi meskipun sudah diserbu beberapa kali sebelum ini.

“JHEAT tidak boleh menyita premis judi yang dikenal pasti atau menahan pemiliknya yang bukan Islam kerana bukan bidang kuasa JHEAT tetapi pihak lain.

“Walaupun begitu, orang ramai diharap dapat memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan nombor ekor dan InsyaALLAH kita akan menjalankan tindakan dengan kadar segera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");