Berita Hari Ini

IKBN Bandar Penawar tumpu latihan minyak, gas

PUTRAJAYA – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar di Kota Tinggi, Johor akan dijadikan institut latihan industri minyak dan gas serta sektor hilirannya mulai tahun ini.

IKBN itu akan menyediakan latihan ‘re-skill’, peningkatan kemahiran dan program jangka pendek untuk 1,000 peserta sehingga 2019.

Ia hasil lanjutan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) dalam menjadikan IKBN Bandar Penawar sebagai institut latihan bagi industri minyak dan gas serta sektor hilirannya.

Memorandum persefahaman kedua-dua pihak dimeterai di sini hari ini dengan disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, kerjasama itu membuka peluang kepada lepasan IKBN mendapat pekerjaan di Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) dan Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas (PIC Petronas) apabila ia siap nanti.

“Apabila projek PIPC dan PIC siap tidak lama lagi, banyak peluang pekerjaan perlu diisi.

“Kalau tidak bermula dari sekarang untuk mendapatkan latihan, belia Malaysia akan terlepas peluang mendapatkan pekerjaan dan projek itu akan bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Khairy berkata, kerjasama antara JPDC dan KBS bermula pada 2013 dengan IKBN Bandar Penawar menjalankan latihan kepada 1,849 belia dan pekerja industri bagi sektor hiliran minyak dan gas untuk pembangunan PIPC.

Katanya 89 peratus daripada 1,849 belia yang menerima latihan menerusi kerjasama pertama JPDC dan KBS itu berjaya mendapat pekerjaan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");