Jenayah

‘Ingat Ada Orang Bakar Tayar’

KUANTAN – Seorang ibu tunggal bersama empat anak tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Isap, kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan rumah kayu didiami Hasmiza Ibrahim, 42, dan empat anak dengan dua daripadanya perempuan berusia 18 serta 13 tahun.

Hasmiza berkata, ketika kejadian berlaku, dia berada di rumah bapanya di Sungai Isap Perdana bersama anak bongsu kerana mahu menunggu seorang adik dari Kuala Lumpur yang berhasrat pulang ke kampung.

Menurutnya, dia berpatah balik ke rumahnya dengan menunggang motosikal kerana adik yang ditunggu itu belum tiba walaupun sudah lewat petang.

“Masa dalam perjalanan nak ke rumah saya nampak asap tebal dan ingatkan ada orang bakar tayar sebab asap hitam.

“Tetapi apabila nak sampai rumah, saya terkejut tengok rumah saya sendiri yang terbakar dan api masih marak.

“Tak boleh nak kata apa… satu rumah habis terbakar depan mata,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan ziarah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hasmiza berkata, rumah kayu yang dibina atas tanah berkelompok itu baharu siap dibina dan diduduki mereka sejak empat bulan lepas dengan kos RM15,000.

Menurutnya, dia bekerja di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Isap Murni sebagai sumber pendapatan selain dibantu dua anak lelaki berusia 23 serta 21 tahun.

“Dua anak lelaki ini dah bekerja sementara anak perempuan berusia 18 tahun sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang bongsu masih di tingkatan satu.

“Buat sementara waktu, kami duduk di rumah ayah saya dulu… trauma tu ada lagi kerana masih terbayang-bayang rumah sendiri terbakar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");