Membawang Hari Ini

Irwansyah serah takdir soal anak

Pada 15 Januari lalu, genap enam tahun pelakon Indonesia, Irwansyah, 32, dan Zaskia Sungkar, 26, bergelar suami isteri malah dalam tempoh berkenaan, pasangan itu sering berkongsi saat istimewa secara terbuka di laman sosial mereka, terutama Instagram.

Hampir ke mana-mana saja, kelihatan pelukan hangat suami tidak pernah lepas terhadap isteri dicintai. Tapi di sebalik senyuman yang menguntum, pelantun lagu Pencinta Wanita itu akui sering dipertanyakan berkaitan dengan soal anak.

Apatah lagi tempoh enam tahun agak lama buat peminat yang ingin melihat artis kesayangan mereka mempunyai zuriat comel.

Memetik laporan Harian Metro tanpa berselindung, Irwansyah akui, dia dan isteri sebenarnya tidak terkesan dengan soalan berkaitan anak waima sering disoal media Indonesia sekalipun.

“Tidak dinafikan kami sering ditanya soal anak. Bagi sesetengah orang, pasti akan tertekan tapi kami biasa sahaja. Kami masih boleh menikmati aktiviti seperti pasangan kekasih lain dan mengambil peluang untuk mengembara.

“Keluarga kami juga tidak menekan. Lagipun, sebagai orang Islam, hidup, mati, rezeki dan anak itu bukankah rahsia Allah? Jadi, kenapa harus saya persoalkannya?” kata Irwan tenang.

Dalam tempoh itu juga, pelakon yang dikenali melalui filem Heart (2006) tidak putus-putus menyatakan tetap berserah pada Allah dengan berdoa hampir setiap hari. Malah setiap kali ke Tanah Suci melakukan umrah, dia dan isteri sering berdoa di depan Kaabah agar dikurniakan anak.

Pun begitu, dia akui dalam perancangan untuk bertemu dengan pakar perubatan bagi menjalani rawatan IVF (Persenyawaan In-Vitro) di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang.

Katanya, itu adalah usaha pertamanya selepas enam tahun berkahwin. Ia selepas mendapat cadangan daripada beberapa rakan yang pernah menjalani rawatan di lokasi sama sebelum ini.

Pasangan selebriti itu akui pernah menyuarakan hasrat untuk melakukan teknik rawatan itu pada 2015 tetapi tertunda kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Sedari tiga tahun lalu, Irwansyah fokus pada bisnes makanan, hartanah dan rumah produksi manakala isterinya, juga penyanyi dan pelakon, sibuk dengan bisnes butik dan turut bergelar pereka fesyen di Indonesia.

“Kami merancang untuk ke sana selepas selesai penggambaran drama ini (Dia). Saya terbuka untuk bercerita mengenai hal ini kerana ia bukan sesuatu yang mengaibkan, jadi, tidak salah untuk dikongsikan,” katanya.

Mereka pernah menjalani pemeriksaan kesuburan tetapi keputusan perubatan menunjukkan kedua-duanya tiada masalah.

Selesa dengan produksi Malaysia

Berada di Kuala Lumpur hampir sebulan lalu, Irwansyah kini sibuk dengan penggambaran drama Dia. Drama 60 episod arahan Eoon Shuhaini itu adalah yang pertama dijayakannya di Malaysia.

Dia akui ‘selesa’ dengan jadual penggambaran di sini berbanding jadual kerja untuk drama atau sinetron di Indonesia yang selalunya panjang dan ada kala sampai 24 jam tanpa henti.

“Di sini walaupun jadual kerja bermula seawal jam 7 pagi, kami hanya bekerja dalam tempoh lapan hingga 12 jam. Ia lebih selesa sebab setiap babak disusun dengan baik.

“Saya juga tidak mengambil masa lama untuk memahami skrip dan mendapatkan keserasian bersama pelakon. Dalam drama Dia, saya hanya perlu berbahasa ibunda kerana watak Adit sendiri berasal dari Indonesia,” katanya.

Turut sama berlakon ialah Izara Aisyah, Janna Nick, Adi Putra, Fazlina Ahmad Daud, Zamarul Hisham dan Aleza Shadan. Ia turut dijayakan pelakon Indonesia lain seperti Kevin Andrean dan Sandrinna Michelle.

Irwansyah yang juga dikenali melalui lagu duet Berdua Lebih Baik dengan bekas pasangan pelakon dalam filem Heart, Acha Septriasa merancang menghasilkan semula lagu itu untuk drama Dia.

Menariknya, Irwansyah berkemungkinan memilih Janna Nick sebagai rakan duet untuk lagu itu. Ia susulan Irwansyah pernah bertanya kepada Janna secara santai mengenai niat itu selepas mendengar lagu Janna, Mungkin Saja dalam laman sosialnya.

“Saya sudah bertanya dengan komposer lagu Berdua Lebih Baik iaitu Melly Goeslaw dan dia tiada masalah untuk projek itu. Apa sekalipun, kita tunggu saja bagaimana hasilnya,” katanya.

Drama bersiri Dia bakal disiarkan TV3 akhir tahun ini. Ia mengisahkan Adit yang berasal dari Indonesia, mewarisi empayar perniagaan ayahnya di Malaysia dan jatuh cinta pada anak pembantu rumah lakonan Janna Nick.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");