Membawang Hari Ini

J Revolusi bakal cetus fenomena

Menggalas tugas selaku pengarah bukan satu tanggungjawab mudah. Banyak perkara perlu diberi perhatian supaya hasilnya berkualiti dan disambut baik penonton.

Bagi pengarah muda, Zulkarnain Azhar, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuh dalam menyiapkan filem sulung arahannya, J Revolusi yang bakal ditayangkan pada 2 Mac ini.

Menerusi filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Infinitus Productions itu, pertaruhan Zulkarnain dalam menjayakan filem aksi buat julung kali sewajarnya dipuji kerana pengolahan jalan cerita yang menarik.

Buktinya, ketika melihat kepada penerimaan awal dan respons positif penonton pada malam gala filem berkenaan di Mutiara Damansara, Selangor malam kelmarin, ia memberikan sebuah harapan bahawa filem aksi yang memaparkan kehidupan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini bakal mencetuskan fenomena, sekali gus menjadi penanda aras baru kepada pembangunan pembikinan filem Malaysia.

Menampilkan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Nur Fazura, Farid Kamil, Izara Aishah, Azad Jasmin, Peter Davis, Omar Abdullah dan Iedil Putra ternyata menjadi percaturan hebat kepada Zulkarnain membawakan filem itu ke layar perak.

“Alhamdulillah saya sangat bertuah dapat bekerjasama dengan ramai nama besar dalam filem ini. Sikap profesional mereka melancarkan proses penggambarannya.

“Tidak dinafikan, persediaan untuk setiap babak mengambil masa lama untuk dilakukan, namun berkat kesabaran dan semangat juang untuk mendapatkan hasil yang terbaik semua pelakon memberikan komitmen yang padu,” katanya.

Selepas melihat filem terbabit secara keseluruhan pada malam gala filem itu malam kelmarin, Zulkarnain tidak menyangka draf terakhir filem itu yang melalui proses penggambaran semula amat luar biasa.

“Ini pertama kali saya melihat secara keseluruhan dengan bunyi dan kesan khas yang dilakukan. Ternyata ia melangkaui jangkaan saya sebagai pengarah apabila melihat hasil keseluruhan filem ini.

“Lagipun, inspirasi saya untuk menghasilkan filem ini adalah karya berunsur perisikan seperti James Bond dan siri Jason Bourne. Kami mahu naskhah ini menjadi filem ikonik yang diingati semua orang sampai bila-bila.

“Ketika mula-mula ditawarkan untuk mengarahkan filem ini, dalam fikiran saya memang terbayangkan Zul Ariffin. Dialah calon paling sesuai untuk membawakan watak sebagai anggota UTK bernama Jay Zulkarnain. Dia memiliki kriteria dikehendaki untuk watak ikonik itu,” katanya memetik sumber Harian Metro.

Ditanya mengenai cabaran terbesar untuk menyiapkan filem ini, Zukarnain berkata, dia akui bimbang dengan jangkaan khalayak terhadap naskhah sulung ini.

“Ketika menerima kertas kerja untuk menghasilkan filem ini saya sudah meletakkan jangkaan yang tinggi. Hampir setiap hari perkara ini bermain di fikiran sama ada setiap babak yang dilakukan berjaya mencapai standard ditetapkan,” katanya.

Filem yang menelan kos sebanyak RM3 juta itu memaparkan kisah pegawai UTK, Jay Zulkarnain lakonan Zul Ariffin berusaha menyelamatkan kakaknya, Dian (Nur Fazura) yang diculik kumpulan pengganas.

Dalam misi menyelamat itu, Jay terperangkap dan dituduh membunuh anggota kumpulannya. Tercetuslah pelbagai konflik dan insiden mengejutkan yang menghantui Jay.

Zul ‘gadai’ motosikal berkuasa tinggi

Zul Ariffin ketika ditemui mengakui watak Jay sangat mencabar.

“Kebanyakan filem aksi sedia ada kurang menyengat tapi untuk kali ini, kami mahu memberi sesuatu yang benar-benar berbeza.

“Untuk mencapai perbezaan itu, saya sendiri mencadangkan jurulatih seni pertahankan diri Kali yang juga rakan saya untuk membimbing pelakon.

“Bermula dari situ, pasukan MMA (Seni Bela Diri Campuran) mula dipanggil masuk bagi perkuatkan fizikal filem. Berpeluang beraksi dengan mereka adalah satu pengalaman baru buat saya. Banyak ilmu serta teknik pertempuran saya pelajari,” katanya yang mengakui berpuas hati melihat filem itu buat pertama kalinya.

Bagi memastikan filem ini benar-benar memberi impak, Zul menggunakan motor berkuasa tinggi jenama Ducati yang baru dibelinya namun mengalami kemalangan ketika sesi penggambaran.

“Saya memberi cadangan kepada penerbit untuk menambah babak perlumbaan menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Saya katakan daripada menyewa lebih baik saya beli dan menggunakannya nanti kerana saya sudah lama menyimpan impian untuk mendapatkannya.

“Bagaimanapun selepas babak saya selesai, motosikal terbabit digunakan pelakon lagak ngeri dan mengalami kemalangan. Kini selepas ia dibaiki saya bercadang untuk kongsikan nilai sentimental yang ada pada motosikal itu dengan menghadiahkannya kepada penonton bertuah menerusi peraduan yang akan dijalankan pihak produksi,” katanya.

Sementara itu, Izara Aishah turut mengakui watak yang dibawanya sangat mencabar.

“Saya perlu melakukan pelbagai aksi seni mempertahankan diri. Saya pernah belajar Muay Thai dan bapa saya juga adalah guru silat. Jadi, sedikit sebanyak itu membantu saya dalam pergerakan yang turut dibantu koreografer.

“Lebih mencabar lagi, saya membawa nama sebagai pegawai UTK dan memerlukan saya untuk mendalami bagaimana cara sebenar mereka bekerja. Saya juga melakukan semua aksi itu tanpa bantuan pelakon lagak ngeri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");