Isu Panas

Jamilah dipilih berdasarkan merit

LUNDU – Datuk Amar Jamilah Anu dipilih sebagai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Datu berdasarkan merit dan bukan untuk memulakan sebuah dinasti keluarga, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, selain itu, sebagai isteri kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, serta penyandang kerusi berkenaan, turut menjadi salah satu faktor.

“Apabila kami melakukan kaji selidik, kami sebenarnya mendapati namanya masih kekal di hati pengundi. Beliau amat popular dan menikmati penarafan yang cukup tinggi, sekali gus mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Medan Selera Lundu berharga RM4.2 juta di sini hari, sempena hari terakhir lawatan tiga hari beliau ke Sarawak.

Najib berkata ia juga mendapati bahawa Jamilah adalah seorang yang ceria dan mudah didekati serta sering kali mewakili Allahyarham suaminya pada majlis-majlis di kawasan itu.

Najib berkata, beliau yakin Jamilah akan mampu meneruskan banyak misi dan agenda Adenan yang belum selesai.

“Kami berada di sini untuk memberi sokongan penuh dan pengesahan kepada beliau sebagai calon BN. Saya harap pengundi Tanjung Datu keluar beramai-ramai pada hari pengundian dengan memberi sokongan penuh kepada beliau.

“Berikan beliau majoriti terbesar supaya beliau boleh menang dengan gaya yang hebat,” katanya.

PRK itu pada 18 Feb ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Jamilah, Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan calon Parti Reformasi negeri (Star), Johnny Aput.

Najib berkata calon pembangkang tidak relevan untuk masa depan pengundi Tanjung Datu.

“Mereka ini hanya boleh mengeksploitasi isu-isu yang tidak relevan semata-mata untuk membangkitkan emosi. Mereka tidak layak mendapat sokongan anda kerana apabila kita mengundi, kita mengundi dengan harapan mengubah hidup menjadi lebih baik,” katanya.

Secara peribadi, Najib berkata, beliau terharu apabila melihat gambar beliau bersama Adenan di rumah rehat kerajaan semasa tiba di sana untuk berehat sebentar.

“Saya memegang tanganya pada satu majlis untuk menunjukkan sokongan penuh saya kepada beliau sebagai calon BN pada pilihan raya negeri yang lepas (pada Mei 2016).

“Saya kehilangan seorang sahabat yang amat dekat di hati saya. Saya meminta gambar itu dibawa pulang ke Sri Perdana untuk digantung di sana untuk mengingatkan saya tentang persahabatan saya dengan beliau, kemenangan besar beliau dalam pilihan raya itu dan kepimpinan agung beliau di Sarawak,’ katanya.

Najib berkata, Adenan mempunyai rancangan besar untuk Tanjung Datu, Lundu dan Sematan.

Katanya, Allahyarham mahu mengeksploitasi sepenuhya keindahan alam semulajadi di negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM129 juta bagi menaik taraf sistem bekalan air di daerah Lundu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");