Berita Hari Ini

Jangan Mudah Terpana Janji Manis Pihak Mahu Berkuasa – Najib

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat terutama generasi muda agar tidak mudah terpana dengan janji-janji manis pihak tertentu yang hanya mahu berkuasa, tetapi akhirnya tidak menunaikan janji mereka.

Menggunakan falsafah Melayu ‘Dengar Guruh Di Langit, Air Tempayan Dicurahkan’, perdana menteri berkata mereka yang menjanjikan pelbagai perkara itu belum tentu dapat membawa perubahan kepada kesejahteraan rakyat.

“Untuk sampai ke destinasi kita (negara yang lebih berjaya), kita kenalah tentukan kesinambungan dalam pemerintahan negara. Kita kena lihat siapa yang mampu membuat perubahan dalam negara, jangan nak sesuatu tapi tolak apa yang ada,” katanya berucap pada program Gen Y Bersama Perdana Menteri di Dataran Alor Setar di sini, Ahad.

Turut hadir isteri perdana menteri merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Perdana menteri berkata kepimpinan ketika ini beriltizam untuk mewariskan negara yang jauh lebih baik daripada “apa yang kami waris daripada kepimpinan sebelum ini”.

Mengambil contoh ‘Arab Spring’ beliau berkata sekalipun pihak barat menganggap ia satu perubahan besar, hakikatnya revolusi itu tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat negara-negara terbabit.

“Tapi hari ini yang (negara) terlibat dalam Arab Spring kini kucar kacir, masih berlaku perang saudara yang amat besar dan konflik politik masih berterusan,” katanya.

Najib berkata ini menunjukkan pemerintahan yang terencat dalam bentuk revolusi atau secara mengejut tidak pernah menjanjikan sesuatu yang indah kepada rakyat.

“Ada negara yang terlibat dalam Arab Spring kini berhutang beratus juta USD dengan Petronas, ini kerana mereka tak mampu membayar kerana negara berkenaan tidak ada kestabilan politik dan kepimpinan yang kukuh,” katanya.

Justeru beliau berkata rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada kerajaan sedia ada untuk meneruskan agenda kesinambungan untuk kesejahteraan rakyat.

Terdahulu pada majlis itu, Najib berbasikal sejauh tiga kilometer bersama-sama peserta Gen Y serta bersantai menyaksikan pelbagai aktiviti dalam program itu antaranya pertunjukan fesyen, senamrobik, malah turut berswafoto bersama golongan muda Kedah.

Bercakap mengenai generasi muda atau Gen Y, perdana menteri berkata golongan itu perlu bersedia menukar paradigma pemikiran mereka untuk lebih berdaya saing pada masa depan.

Dalam aspek pekerjaan, misalnya, Najib berkata golongan itu perlu bersedia untuk pekerjaan yang bakal wujud pada masa depan.

“Kajian menunjukkan 65 peratus yang menuntut di sekolah rendah hari ini akan mengisi pekerjaan yang pada masa ini belum wujud,” katanya.

Najib berkata golongan muda yang dianggap sebagai “aset negara dan permata yang cukup bernilai” itu perlu membuat persiapan yang lebih holistik dan komprehensif serta dapat mengadaptasi apa sahaja situasi yang bakal mereka hadapi pada masa depan.

Pada majlis itu juga, perdana menteri turut mengumumkan berita gembira untuk orang muda Kedah dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membina sebuah litar lumba di Sungai Petani.

“Lepas ini tak payah jadi mat rempit lagi di jalan raya, berlumba lah di litar lumba itu nanti,” katanya.– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");