Sukan Hari Ini

‘Jangan Undi Saya Kalau Pilih Annuar’

“Saya lebih berminat bekerja dengan orang yang saya selesa bekerja seperti Tengku Mahkota Johor (TMJ). Ini kerana saya pernah duduk bersemuka dengannya dan faham perubahan yang ingin dibawanya.

“Tetapi dengan Tan Sri Annuar, kami tidak pernah duduk berbincang dan tidak tahu apa pembaharuan yang ingin dibawanya untuk FAM. Kerisauan saya ialah kami tidak dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dan akan timbul konflik sekiranya kami berdua dipilih oleh perwakilan,” kata calon Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.

Berikutan itu, beliau meminta ahli gabungan untuk tidak mengundinya bagi jawatan berkenaan sekiranya memilih Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden badan induk bola sepak negara itu.

Yusoff berkata, beliau hanya mahu bergandingan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memimpin FAM dan bukan dengan Annuar.

Ini kerana menurutnya, beliau hanya berminat untuk dipilih Timbalan Presiden dengan individu yang lebih selesa untuknya bekerja dalam satu organisasi.

Justeru itu, beliau meminta perwakilan memilih calon terbaik yang mampu membawa perubahan kepada FAM dan landskap bola sepak negara.

“Biarlah perwakilan yang bentuk kepemimpinan dan jika perwakilan mahukan Annuar, mereka juga perlu memilih calon lain yang dirasakan sesuai sebagai gandingannya untuk membantu menerajui organisasi terbabit,” jelasnya, seperti dilapor Sinar Harian.

Bagaimanapun Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) tetap menyuarakan harapan supaya TMJ dapat menerajui FAM kerana mempunyai visi dan misi yang jelas untuk pembangunan bola sepak negara.

“Melalui perbincangan kami sebelum ini, TMJ pernah menyuarakan untuk melihat perubahan drastik dalam FAM terutamanya berkaitan hubungan dengan ahli gabungan atau persatuan bola sepak negeri.

“Kalau lihat kepada ahli gabungan sekarang, mereka seakan-akan tidak ada sense of belonging dengan FAM.

“Kami sependapat, aspek pembangunan bola sepak tunjang utama yang perlu dititikberatkan oleh pucuk pimpinan baharu FAM,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");