KOTA KINABALU – Pembinaan kampus baharu Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR) Sabah di tapak seluas 2.42 hektar di Alamesra, dekat sini, dijangka siap awal 2019, kata Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, projek yang menelan kos RM50 juta itu mampu menampung lebih 3,000 pelajar iaitu 10 kali ganda berbanding 340 orang di kampus sedia ada di Donggongon, Penampang.
Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata buat masa ini Kolej Universiti TAR Sabah menawarkan enam kursus, dan apabila kampus baharu itu siap akan menawarkan lebih 100 kursus membabitkan industri atau bidang yang relevan dengan pembangunan di negeri ini seperti pelancongan, hospitaliti dan marin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek kampus baharu itu, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di sini, hari ini.
Tiong Lai yang juga presiden MCA mengalu-alukan ibu bapa di Sabah menghantar anak mereka belajar di Kolej Universiti TAR milik parti itu kerana kursus ditawarkan adalah menarik selain tertumpu pada bidang teknikal, keusahawanan dan pembangunan insan.
Beliau berkata selepas fasa pertama pembinaan bangunan kampus baharu itu siap, pihaknya akan meneruskan fasa kedua merangkumi pembinaan kuarters atau apartmen untuk pelajar.
Tiong Lai berkata, pihaknya juga bercadang untuk membangunkan Kolej Universiti TAR di Sandakan sebagai menyokong inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan Sandakan sebagai hab pendidikan.
Kolej Universiti TAR cawangan Sabah mula beroperasi pada 2002 di Kian Kok Middle School dengan jumlah pelajar hanya 22 orang sebelum berpindah ke Donggongon, Penampang.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya berkata pembinaan kampus Kolej Universiti TAR Sabah tepat pada masanya kerana kerajaan memerlukan lebih banyak institusi pengajian tinggi untuk mengeluarkan tenaga kerja mahir bagi memajukan lagi negeri.
“Saya yakin kampus Kolej Univesiti TAR Sabah yang baharu akan menyediakan peluang kepada golongan muda Sabah untuk melanjutkan pelajaran dan mendidik mereka dengan baik untuk membawa Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya dan menurutnya ia juga akan dapat memenuhi keperluan modan insan Sabah.
Kini terdapat kira-kira 30 kolej swasta serta enam universiti awam dan swasta yang menawarkan keperluan pendidikan tinggi di negeri ini, katanya.
– Bernama