Panasnya Hari Ini

Kang Chol Kecam Malaysia: Anifah Aman Naik Angin

Datuk Seri Anifah Aman sememangnya sinonim dengan sifatnya yang tenang dalam berdepan dengan pelbagai isu melibatkan kementeriannya. Bagaimanapun, dek kerana kes kematian Kim Jong-nam, Menteri Luar itu dilihat naik angin dengan perangai biadap Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol.

Anifah, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa sebarang tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing berhubung kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, Isnin lepas merupakan penghinaan yang amat besar.

“Beliau (Kang Chol), tidak sepatutnya membuat tuduhan terhadap Malaysia. Siasatan sedang dijalankan dan kejadian itu tiada kaitan dengan kita.

Jelas beliau lagi, tuduhan tersebut dilihat hanya bersandarkan khayalan dan pembohongan bagaimanapun kini ia seolah-olah telah menjadi asas kepada kesimpulan duta tersebut bahawa ‘penyiasatan tersebut didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir’.

Malah katanya, Kang Chol turut menyatakan bahawa ‘penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari suspek, tetapi bermotifkan politik’.

“Apabila Duta Besar Korea Utara dipanggil oleh Kementerian Luar, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Dua Hala telah menekankan bahawa penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa serta dijalankan mengikut undang-undang negara ini,” katanya sebagai jawapan balas kepada Kang Chol yang mengedarkan kenyataan akhbar mengandungi beberapa tuduhan terhadap siasatan kematian Kim Jong-nam.

“Setakat ini siasatan polis adalah berdasarkan kesemua petunjuk yang ada dan akan disiasat sepenuhnya. Saya tegaskan kes ini tiada ada kaitan dengan Malaysia apatah lagi bermotifkan politik.

Tambahnya lagi, pihak kedutaan Korea Utara sepatutnya memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Malaysia bagi memastikan siasatan dijalankan dengan rapi dan bukan menimbulkan syak wasangka terhadap siasatan tersebut.

Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Dalam pada itu, seorang diplomat veteran Datuk Dennis Ignatius menulis dalam sebuah portal berkata Kang Chol mungkin berdepan hukuman tembak mati di negaranya sekiranya gagal memperlihatkan ketegasan dalam mewakili regim Pyongyang.

Jelas beliau, atas dasar itu Kang Chol dilihat terpaksa mengambil pendekatan lebih drastik dengan mengecam Malaysia.

Bekas duta besar Malaysia ke China itu berkata kemungkinan itu sesuatu yang pernah berlaku.

“Sekiranya beliau tidak tampak bersungguh-sungguh dan teliti dalam mempertahankan regimnya, beliau mungkin menerima nasib sama duta sebelum ini yang ditembak oleh pasukan skuad penembak selepas dipanggil balik dari Kuala Lumpur.

“Untuk pengetahuan, pada awal 2014, bekas duta Korea Utara ke Malaysia, Jang Yong Chol, dihukum tembak mati oleh regim Korea Utara. Yong Chol merupakan anak saudara kepada Jang Song Thaek, bapa saudara diktator Korea Utara Kim Jong Un. Song Thaek dihukum bunuh bersama-sama seluruh anggota keluarganya termasuk dua anak lelakinya pada Disember 2013.

“Susah membayangkan beliau meneruskan jawatannya… Itulah bahaya yang menunggu kakitangan perkhidmatan diplomatik Korea Utara,” kata Dennis yang mempunyai lebih tiga dekad pengalaman diplomatik, dan mewakili misi Malaysia ke Beijing pada 1980-an yang turut bertanggungjawab dalam hubungan dengan Korea Utara.

Kang Chol yang selama ini enggan bercakap kepada media, pada Isnin membacakan kenyataan akhbar membidas kerajaan Malaysia, sambil berkata pihaknya tidak yakin dengan sebarang penyiasatan terhadap Jong Nam.

Permintaan Korea Utara sebelum ini supaya Malaysia menyerahkan mayatnya ditolak. Kang Chol mempersoalkan keputusan Malaysia melakukan bedah siasat dan mengingatkan Putrajaya yang Jong Nam memegang pasport diplomatik.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");