Jenayah

Kantoi tak sampai 1 jam

IPOH – Dua lelaki tidak sempat menikmati hasil pecah rumah apabila ditahan polis tidak sampai satu jam selepas melakukan kegiatan itu di sebuah rumah di Kuala Pari Tengah, Menglembu di sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintendan Abdul Rani Alias berkata, kira-kira jam 5.15 petang, pengadu berusia 53 tahun yang bekerja sebagai penolong pengurus menerima panggilan daripada anak saudaranya memaklumkan ada orang memasuki rumah arwah ibunya.

Menurutnya, selain panggilan telefon, anak saudara pengadu turut memberitahu kedua-dua suspek telah ditangkap dengan orang ramai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut melalui aplikasi Whatsapp.

“Anggota dari Balai Polis Menglembu segera ke lokasi untuk menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah tersebut.

“Ketika tiba di lokasi kita telah menemui seorang lelaki berusia 40 tahun yang menyerahkan suspek terbabit.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, siasatan awal ke atas suspek mendapati, mereka telah mencuri kerusi roda dan tilam serta menjual hasil curi itu di kedai besi buruk untuk mendapatkan wang.

“Berikutan itu, kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");