Berita Hari Ini

Kenyataan Kang Chol Biadab – Hishammuddin

PELABUHAN KLANG: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol mengkritik Malaysia berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam adalah biadab.

Tambahnya, Kang Chol sudah melangkaui batas daripada tanggungjawabnya sebagai seorang duta asing di negara ini.

“Saya berpendapat duta Korea Utara itu biadab dalam kenyataannya mengenai perkara ini,” katanya memetik sumber Mstar Online dalam sidang media sempena majlis menyambut ketibaan sukarelawan negara dalam misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ pada Khamis.

Hishammuddin berkata, sebarang kes jenayah perlu bersandarkan kepada undang-undang negara di mana jenayah itu berlaku termasuk undang-undang antarabangsa.

Beliau percaya semua siasatan berhubung kes Jong-nam dapat ditangani negara dengan baik.

“Kita boleh buktikan kepada masyarakat dunia bahawa agensi-agensi kita dan pihak bertanggungjawab mampu menangani perkara ini.

“Sebab itu tangkapan terhadap suspek dibuat dengan cepat, dan kita harapkan ia (siasatan) dapat dilakukan dengan teratur dan terancang,” katanya.

Hishammuddin turut menyifatkan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa itu walaupun berdepan pelbagai cabaran namun sudah menyamai penanda aras antarabangsa.

“Ini yang saya tengok. Saya tahulah berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam kes MH370 dan MH17, terdapat macam-macam dakwaan dan tuduhan yang perlu kita tangani.

“Kalau kita ikhlas, jujur, bersandarkan kepada fakta dan bukti yang ada, maka tidak akan ada sesiapa yang boleh menuduh kita menyalahgunakan kuasa atau tidak melakukan sesuatu untuk mencari keadilan yang sebenar,” kata Hishammuddin.

Terdahulu pada Isnin Kang Chol berkata, negaranya ‘tidak boleh mempercayai’ siasatan yang dijalankan Malaysia berhubung pembunuhan itu.

Kang Chol juga sebelum ini menuduh Malaysia telah bersekongkol dengan Korea Selatan dalam kes kematian Jong-nam.

Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) minggu lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");