Jenayah

Lantunan ajal

Manjung: Seorang anak sempat mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah sebelum wanita itu meninggal dunia akibat akibat terkena lantunan tayar dipercayai treler yang tercabut ketika memotong dan menyiram pokok bunga di depan rumahnya di Jalan Ayer Tawar-Beruas dekat Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar, di sini, kelmarin.

Memetik sumber Harian Metro, dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa Mariaty Bakar, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di kepala dan beberapa anggota badan akibat terkena lantunan tayar berkenaan.

Anak bongsu mangsa, Maisuri Mahamad Ajmi, 24, berkata, ketika kejadian, dia menonton televisyen di dalam rumah dan menyangka ibunya ke rumah jiran untuk bersembang.

“Ketika asyik menonton televisyen, saya terdengar bunyi kuat di luar sebelum mengintai dari dalam dan ternampak ada orang terbaring. Apabila keluar saya terkejut melihat ibu terbaring berlumuran darah serta cedera di beberapa anggota badan.

“Ketika itu saya masih dengar bunyi degupan jantung ibu dan cuba memanggilnya, namun tiada sahutan menyebabkan saya membantu ibu mengucap,” katanya.

Menurut Maisuri, membersihkan laman rumah serta menyiram pokok bunga adalah aktiviti ibunya hampir setiap petang dan ketika kejadian berlaku arwah ibunya melakukan rutin hariannya iaitu memotong pokok bunga di hadapan rumah.

“Saya tak nampak tayar berhampiran lokasi dan pada mulanya menyangka ibu dilanggar lari, orang kampung yang perasan tayar itu berada 100 meter dari lokasi emak rebah manakala treler itu gagal dikesan kerana berkemungkinan pemandunya tidak sedar tayar tercabut,” katanya.

Katanya, dalam kegembiraan menerima ahli keluarga baru selepas kakak keduanya melangsungkan perkahwinan 28 Januari lalu, keluarganya kini diuji dengan pemergian ibu tersayang, namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi.

Menurutnya, laluan di kampung itu memang banyak dilalui kenderaan berat setiap hari dan kejadian menimpa ibunya menyebabkan mereka sekeluarga trauma apabila mendengar bunyi lori atau treler.

Katanya, jenazah ibu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 42 Kampung Kedah, di sini, tengah hari semalam.

Sementara itu, suami mangsa Mahamad Ajmi Ahmad, 64, berkata, dia bergegas pulang ke rumah selepas dihubungi anaknya memaklumkan kemalangan menimpa isterinya.

“Ketika itu saya berada di rumah ibu di Kampung Batu 19, dekat sini dan dalam perjalanan pulang saya nampak ambulans menghala ke Beruas.

“Saya menunggang motosikal dengan laju untuk melihat keadaan isteri dan apabila tiba saya lihat orang ramai berada di kawasan rumah, luluh hati saya melihat keadaan isteri ketika itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");