Berita Hari Ini

‘Lebuhraya Jelas bukan misteri’

IPOH – Syarikat yang bertanggungjawab dalam projek Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas) BMT Jelas Sdn Bhd mendakwa kerja-kerja awalan cadangan pembinaan lebuhraya sepanjang 116 kilometer itu telah mendapat kebenaran kerajaan negeri dan kini sedang menunggu kelulusan perlaksanaan dari kerajaan persekutuan.

Timbalan Pengarah Projek BMT Jelas Sdn Bhd, Ahmad Sayufei Zainuddin berkata, cadangan asal lebuh raya berkenaan dimulai pada tahun 2010 dengan laluan hanya melibatkan laluan dari Jelapang hingga ke Selama yang pada asalnya dicadangkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak.

Memandangkan aliran trafik ke utara semenanjung yang kian bertambah, pihak BMT Jelas telah mencadangkan kepada kerajaan agar lebuh raya ini dihubungkan terus ke Jambatan Kedua Pulau Pinang agar semua pengguna lebuh raya akan mendapat manfaat dan dapat mengurangkan kesesakan lebuh raya yang sedia ada dan juga merupakan satu laluan alternatif ke utara dan begitu juga sebaliknya.

“Pihak syarikat telah membuat kajian lalu lintas yang terperinci melalui konsultan yang telah dilantik untuk memastikan dan mengenal pasti jajaran yang dicadangkan ini betul-betul memenuhi kriteria sebagai sebuah lebuh raya dan satu keperluan pada masa akan datang” katanya.

“Memang setakat ini kita pun tidak pernah membuat apa-apa kerja pembinaan fizikal di tapak memandangkan ia belum diluluskan diperingkat persekutuan.

Cuma kerja-kerja awalan seperti kerja-kerja pra pengambilan terhadap mengenal pasti dan menyemak lot-lot yang terlibat, kerja-kerja kajian ke atas kesesuaian tanah dan kerja-kerja menyelaras jajaran untuk diteliti dan sedang dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri dan daerah terlibat pada Januari 2014 serta kelulusan dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (MMK) pada Julai 2010.

Pihak kami juga telah mendapat kelulusan dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2011,” katanya.

Mengulas mengenai majlis yang berlangsung pada 19 Januari lalu, Ahmad Sayufei menjelaskan ia adalah satu majlis pelancaran bagi memulakan kerja-kerja awalan projek Lebuhraya Jelas dan juga sebagai menghargai kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri yang memberikan kerjasama penuh dalam merealisasikan projek lebuh raya ini.

Beliau berkata, pihaknya memang memahami prosedur yang ditetapkan dengan tidak melakukan sebarang pembinaan sebelum memperoleh kelulusan dari pihak kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Pembinaan tidak libatkan wang kerajaan

Ahmad Sayufei berkata, cadangan projek pembinaan Lebuh raya Jelas ini dibuat Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) tanpa melibatkan sebarang pembiayaan dari pihak kerajaan negeri ataupun persekutuan.

Katanya, kos pembinaan lebuh raya tersebut dianggarkan bernilai RM4.6 bilion yang akan dibiayai oleh Elaf Bank dari Bahrain melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mei 2010 dengan Syarikat BMT Jelas Sdn Bhd yang telah disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Elaf Bank (c) Bahrain, Ebrahem El Huzam.

“Perbincangan dan mesyuarat bersama pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) juga telah beberapa kali diadakan dan didapati bahawa jajaran Lebuhraya Jelas ini amat diperlukan dalam proses pembangunan infrastruktur terutamanya di kawasan koridor utara,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan sudah pun dimajukan kepada kerajaan persekutuan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) dan telah beberapa kali mengadakan taklimat dan perbincangan tentang Lebuhraya Jelas ini sehingga ke peringkat Jawatankuasa Unit Kerjasama Awam Swasta (JKAS) dan kini sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkenaan dalam masa yang terdekat ini.

“Secara dasarnya projek ini telah dipersetujui oleh kerajaan Negeri dan kebenaran untuk memasuki tapak untuk melakukan kerja-kerja awalan terhadap jajaran ini juga telah diperoleh pada Januari 2014.

“Pihak syarikat memang serius untuk merealisasikan projek ini berjaya, memandangkan segala kos pembiayaan telah tersedia” katanya.

Jelas beliau, jika projek ini mengalami kelewatan dari segi kelulusan dan perlaksanaan, pihak syarikat bimbang akan peningkatan dari segi kos pembinaan.

Jajaran bantu ekonomi setempat

Menurut Ahmad Sayufei, Lebuh raya Jelas yang dirancang itu akan mempunyai 13 persimpangan di sepanjang 116 kilometer yang mana sembilan daripada persimpangan itu berada di Perak serta terdapat sebuah terowong sepanjang 3.0 kilometer yang merentangi Banjaran Bintang yang merupakan terowong yang terpanjang di Asia,

Beliau berkata, sembilan persimpangan itu nanti bakal membuka ruang dan peluang sosio-ekonomi masyarakat di situ.

Katanya, sembilan persimpangan itu adalah di Meru Raya (Jelapang), Klebang, Kanthan Baru, Sungai Siput (U), Karai, Kati, Anak Kurau, Batu Kurau dan Selama.

“Kajian dari segi kesan sosio-ekonomi yang telah dijalankan oleh pihak syarikat juga menunjukkan bahawa dengan adanya lebuh raya ini akan meningkatkan lagi taraf hidup serta menambahkan pendapatan isi rumah penduduk sekitar dan kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.

Alternatif kepada laluan sesak sedia ada

Katanya, pembinaan Lebuh raya Jelas ini wajar dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada lebuh raya sedia ada yang tidak lagi mampu menampung pertambahan kenderaan terutama musim perayaan dan pada cuti kelepasan yang lain.

Beliau berkata, dengan adanya Lebuhraya Jelas kelak, kesesakan itu mampu diatasi memandangkan pengguna sudah mempunyai laluan alternatif lain untuk perjalanan ke utara.

“Pengguna lebuh raya sudah pasti mahu perjalanan yang selesa dan tiba ke destinasi dalam tempoh yang sepatutnya.

Gesa teruskan pembinaan

Bagi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mediator Komuniti, Mohd Khairul Firdaus Subbarao Abdullah, beliau mahu projek berkenaan diteruskan tanpa sebarang halangan.

Beliau berkata, kajian awal sudah dibuat dan manfaat yang banyak bakal diperoleh penduduk setempat untuk membangunkan kawasan mereka.

Katanya, tidak ada alasan untuk menghentikan projek lebuh raya yang begitu dinanti-nantikan penduduk di sekitar jajaran itu.

“Kemudahan lebuh raya ini membantu dalam kemasukan pelabur ke Perak sekali gus memajukan kawasan luar bandar,” katanya.

Mohd Khairul berkata, kerajaan negeri perlu menerima pelaksanaannya demi kebaikan rakyat.

Malah katanya, kerajaan negeri turut boleh membantu mempercepatkan kelulusan pembinaan lebuh raya itu dari kerajaan persekutuan.

Menurut beliau, Lebuh raya Jelas itu bukanlah sesuatu yang baharu dan memang pernah disiarkan di media sebelum ini.

“Kita harap pembinaannya dipercepatkan agar manfaat lebih cepat diperoleh penduduk terlibat,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");