Sukan Hari Ini

Letshanaa Permata Baru Negara

Kuala Lumpur: Pemain nombor satu perseorangan wanita badminton negara, Goh Jin Wei berkemungkinan bakal diberi tentangan sengit juara dalam pembikinan, K Letshanaa – permata baru negara.

Memiliki pukulan drop-shot mengelirukan selain ketenangan ketika bermain di depan jaring meletakkan anak bongsu daripada tiga beradik itu antara pemain wanita negara berpotensi besar untuk menyinar suatu hari nanti.

Maka, tidak hairan pada usia 14 tahun Letshanaa sudah memahat namanya dengan menjuarai pelbagai kejuaraan peringkat domestik dan antarabangsa sejak tiga tahun lalu.

Jelas Letshanaa, dia menyimpan cita-cita besar untuk bergelar pemain badminton profesional dunia dan juga peguam, akan terus memburu kejuaraan bagi merealisasikan impiannya.

“Saya nak jadi peguam dan pada masa sama pemain profesional hingga beraksi di pentas tertinggi seperti Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik.

“Sebab itu pelajaran dan badminton perlu diseimbangkan supaya apa dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran,” katanya yang meraih 6A dan 1B dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2015.

Meskipun penat, dia menganggapnya sebagai pengorbanan yang harus diharungi, tapi tidak pernah mengeluh susulan minat mendalam.

“Sukan ini tidak ganggu pelajaran saya. Latihan yang saya jalani setiap hari bermula dari jam 3 hingga 5.30 petang kecuali hujung minggu di NVBA (New Vision Badminton Academy) langsung tidak membataskan pergerakan saya dalam kedua-dua bidang itu.

“Mula main badminton sejak berusia enam tahun membuatkan jiwa saya kental dan terbiasa mendisiplinkan diri sendiri terutama dalam pengurusan masa,” katanya, lapor Harian Metro.

Letshanaa yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama pernah muncul juara perseorangan bawah 12 tahun pusingan pertama dan kedua Sirkit Junior Kebangsaan (2015), juara bawah 12 tahun Kejohanan Akhir Kebangsaan (2016) dan juara bawah 14 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (2017).

Selain kejohanan peringkat bawah umur, dia juga didedahkan dengan beberapa kejohanan peringkat senior seperti Liga Purple Junior dengan mewakili kelab NVBA bagi memberikannya meraih pengalaman lebih awal diusia muda.

“Sekalipun saya tewas awal dalam Liga Purple Junior tahun lalu, ia sebenarnya memberi 1,000 hikmah kepada saya untuk terus berlatih bersungguh-sungguh bagi mematangkan permainan.

“Untuk permulaan, saya menyasarkan untuk meraih gelaran juara remaja dunia dalam tempoh terdekat ini sebelum merancang pergi lebih jauh dan muncul antara pemain perseorangan terbaik dunia suatu hari nanti,” katanya yang mengakui meminati jaguh badminton China Lin Dan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");