Kuala Lumpur: Sedar akan cabaran besar di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Atlet terjun Muhammad Syahmi Mohd Rezal sanggup berkorban tujuh hari seminggu berlatih bagi mengatasi kekurangannya.
Bakal beraksi dalam acara 10 meter terjun seirama bergandingan dengan sahabat baiknya Jason Sabilin, Syahmi berkata, perasaannya kini bercampur baur selepas diberi kepercayaan ketua jurulatih Yang Zhuling untuk beraksi di temasya dwitahunan itu buat kali pertama.
Berusia 16 tahun, Syahmi mengakui berasa sedikit tertekan kerana bimbang tidak mampu melakukan lompatan terbaik.
“Memang berasa sedikit tekanan dan bimbang, tapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik kerana sasaran sudah semestinya ingin meraih emas.
“Justeru saya perlu memperbanyakkan latihan dan perlu meningkatkan stamina serta daya ketahanan agar terjunan menjadi konsisten,” katanya memetik sumber Harian Metro
Selepas tidak beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) lalu kerana mengalami kecederaan siku, Syahmi berharap tahun ini menjadi tahun paling bermakna buat dirinya dan mendoakan agar bebas daripada sebarang kecederaan.
Selain Syahmi, empat penerjun muda lain turut terpilih mengalas tugas negara di Sukan SEA dan mereka adalah Jason, Gabriel Gilbert Hanis Nazirul Jayasurya yang masing-masing berusia 16 tahun serta Kimberly Bong, 15.
Skuad terjun negara menyasarkan untuk menyapu bersih kesemua 13 emas dan misi itu dilihat bukan mustahil dicapai.