Membawang Hari Ini

Malam iktiraf Bowie

Brit Awards 2017 yang berlangsung di The O2, London, semalam menjadi milik penyanyi legenda, mendiang David Bowie yang meninggal dunia akibat kanser hati pada 10 Januari tahun lalu.

Bintang berbakat luar biasa itu menerima pengiktirafan sebagai pemenang kategori Artis Solo Lelaki Terbaik dan Album Terbaik menerusi Blackstar.

Kejayaannya itu sekali gus membuktikan anugerah muzik terbesar Britain itu masih menitikberatkan ketelusan dan kemenangan bukannya jatuh ke tangan artis yang tidak layak.

Kemenangan Bowie itu sekali gus menjadi sesi ‘tribute’ paling indah memandangkan mendiang adalah antara artis paling berpengaruh dunia.

Mewakili bapanya untuk menerima pengiktirafan itu, Duncan Jones yang juga seorang pengarah filem tampil dengan ucapan penuh emosi.

“Dia adalah orang yang sentiasa akan berada di sisi sesiapa juga yang berasakan diri mereka pelik atau ganjil. Dia adalah penyokong tegar golongan berkenaan.

“Anugerah ini didedikasikan buat semua golongan ‘kooks’ serta insan yang melahirkan mereka,” katanya sambil merujuk kepada lagu Kooks dendangan Bowie yang dimuatkan dalam album Hunky Dory pada 1971.

Bowie mencipta lagu itu khas buat Duncan yang ketika itu baru dilahirkan.

Bukan saja buat Bowie, Brit Awards kali ini turut melakukan ‘tribute’ kepada seorang lagi penyanyi legenda iaitu George Michael yang meninggal dunia secara mengejut pada Krismas tahun lalu.

Rakan duo Michael ketika bersama Wham!, Andrew Ridgeley dan bekas penyanyi latar Wham!, Pepsi & Shirlie tidak ketinggalan tampil memberi penghormatan buatnya.

“Suara emasnya akan terus hidup selama-lamanya sebagai hadiah untuk kita semua,” kata mereka dengan penuh emosi.

Memetik sumber Harian Metro turut memberikan penghormatan, penyanyi Coldplay iaitu Chris Martin yang menyanyikan lagu A Different Corner sambil berduet dengan suara Michael yang sudah sedia dirakam.

Chris berjaya menyentuh hati penonton dengan nyanyian indahnya.

Apa yang pasti, Brit Awards 2017 membuktikan betapa kuatnya diversiti muzik Britain.

Kemenangan kali ini juga bukan klise, tetapi benar-benar mengangkat pelbagai artis yang muziknya layak diiktiraf.

Selain David, turut unggul ialah pendatang baru Rag ‘N’ Bone yang menang kategori Artis Baru Terbaik dan Pilihan Pengkritik.

Begitu juga dengan persembahan yang menampilkan bukan nama kebiasaan.

Paling mencuri perhatian ialah Skepta yang tampil dengan persembahan mengagumkan menerusi lagu Shut Down.

Ed Sheeran tidak ketinggalan menggamatkan pentas dengan lagu Shape Of You yang menjadi kegilaan ketika ini. Dia turut disertai Stormzy dalam persembahan itu.

Menjadi antara penyanyi wanita berpengaruh di Britain, Emeli Sande pula memukau penonton dengan nyanyian hebatnya. Emeli juga berjaya membawa pulang dengan trofi Artis Solo Wanita Terbaik.

Acara malam itu dimulakan dengan persembahan hebat Little Mix menerusi lagu Shout Out To My Ex.

Mereka juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila menang Single Terbaik.

Sementara, penyanyi Amerika Syarikat, Katy Perry pula tampil dengan persembahan kontroversi dengan membawa dua rangka tulang di atas pentas sewaktu mendendangkan single terbarunya Chained to the Rhythm.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");