SONGKHLA : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Malaysia bersedia mengeksport hasil laut ke Thailand bagi menampung keperluan industri di negara terbabit.
Beliau berkata, pihaknya menerima permintaan daripada industri perikanan di Thailand untuk membekalkan ikan tuna dan ikan tongkol bagi keperluan pemprosesan makanan dalam tin yang dilihat semakin berkembang.
Menurutnya, dalam pertemuan dengan pengusaha makanan dalam tin terbesar negara itu, mereka berhasrat mengimport ikan tuna dan tongkol dari Malaysia sekitar 4,000 tan metrik setahun.
“Malaysia mempunyai kemampuan untuk mengeksport hasil perikanan ke negara tersebut jika nelayan tempatan melakukan pendaratan hasil tangkapan secara sah.
“Saya percaya sekiranya kita dapat penuhi permintaan ini, ia mampu tingkatkan pendapatan nelayan dan mengimbangi imbangan dagangan kita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan sehari di Songkhla, semalam. Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.
Selain melawat kilang pemprosesan makanan berasaskan hasil laut, beliau turut melawat Institut Akuakultur Persisiran Pantai Kebangsaan, Thailand dan kawasan perikanan air tawar di Koh Yo.
Ahmad Shabery berkata, permintaan hasil perikanan dari Malaysia, perkembangan baik untuk industri perikanan kerana selama ini, Malaysia hanya dilihat sebagai pengimport ikan dari Thailand.
Beliau berkata, persepsi itu perlu diubah kerana Malaysia juga mempunyai peluang untuk mengeksport hasil perikanan ke Thailand.
“Ketika ini sumber perikanan di Thailand sudah tidak mampu menampung keperluan penduduk tempatan, selain permintaan industri pemprosesan makanan (pengetinan) untuk dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah.
“Malah keadaan nilai mata wang yang rendah pada masa ini juga menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan untuk mengimport hasil laut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Shabery turut menggalakkan nelayan dan penternak udang untuk memasarkan hasil perikanan mereka ke Thailand.
Menurutnya, disebabkan berlakunya banjir besar di negara jiran itu baru-baru ini, telah menyebabkan hasil perikanan termasuk udang berkurangan di selatan Thailand.
“Nelayan kita perlu guna peluang ini untuk memasarkan hasil perikanan negara ke Thailand,” katanya.