Sukan Hari Ini

Mansuh Sirkit GP, BAM Buat Silap

Bekas pemain negara, Roslin Hashim berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak sepatutnya memperkenalkan Kejohanan Kebangsaan bagi menggantikan Sirkit Grand Prix (GP) Kebangsaan yang telah dipertandingkan sejak awal 1990-an

Bagi Roslin, situasi itu memberi gambaran negatif dan ia umpama satu malapetaka besar dalam badminton Malaysia.

“Pada pandangan saya ia lebih kepada malapetaka. Apa tujuan mereka (BAM) nak kurangkan kejohanan, dan bagaimana nak nilai (pencapaian) jika hanya ada satu kejohanan kebangsaan dalam satu tahun?.

“Jika dulu pada tahun 1995 dan 1996, ada empat kejohanan sirkit, lepas itu dikurangkan kepada dua dan sekarang pula mahu buat setahun sekali?. Adakah itu keputusan yang betul dan memberi kebaikan kepada semua pemain?.

“Saya bukan nak kecam, tapi fikir la sendiri kesannya,” katanya seperti yang dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, kejohanan kebangsaan terbahagi kepada dua peringkat iaitu dua sirkit kebangsaan serta sirkit akhir kebangsaan, namun kelmarin, BAM merasakan sudah tiba masanya untuk memberi nafas baharu kepada kejohanan tersebut.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata, Kejohanan Kebangsaan itu penting bagi memastikan standard kejohanan tempatan sentiasa meningkat dengan penyertaan pemain terbaik negara.

Mengulas lanjut alasan Al-Amin, Roslin tampil mempersoalkan badan induk itu dengan berkata, adakah mereka mempunyai pemain terbaik selain Datuk Lee Chong Wei.

“Kadang-kadang alasan mereka (BAM) buat orang nak gelak. Sedarkah mereka sebelum ini pun ada pemain BAM kalah dengan pemain negeri, jadi apa maksudnya itu, siapakah yang lagi bagus.

“Sepatut BAM kena lihat pelbagai sudut sebelum buat keputusan ini kerana bagi saya masih banyak cara untuk menarik penyertaan pemain terbaik selain menjadikan kejohanan ini lebih menarik,” jelasnya.

Kejohanan Badminton Kebangsaan edisi pertama berlangsung di Dewan Sri Perdana, Ulu Kinta bermula 19 hingga 25 Februari ini dengan menampilkan pilihan utama seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagi perseorangan lelaki, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Woon Khei Wei-Vivian Hoo (beregu wanita).

Lai Pei Jing-Tan Kia Meng dan Chan Peng Soon-Chow Mei Kuan (beregu campuran) serta penampilan beregu lelaki, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem bersama gandingan baharu.

Jumlah hadiah keseluruhan adalah RM270,000 dengan juara perseorangan lelaki menerima RM20,000, perseorangan wanita (RM14,000), beregu lelaki (RM30,000), beregu wanita (RM20,000) dan beregu campuran (RM20,000).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");