Sukan Hari Ini

Masalah Gaji Belum Selesai

Kota Bharu: Masalah tunggakan gaji Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) difahamkan masih belum diselesaikan sepenuhnya dilihat antara punca prestasi ‘yo-yo’ Kelantan yang kalah tiga kali berturut-turut sebelum ini.

Terbaru, bekas ketua jurulatih Velizar Popov dan bekas pertahanan importnya Jonathan McKain menyelar KAFA kerana mengeluarkan kenyataan media yang dianggap satu pembohongan.

Kini, giliran satu lagi pihak mendedahkan kepincangan yang berlaku itu dengan menjelaskan, badan induk bola sepak negeri itu didakwa hanya membayar sebulan gaji kepada pemain dan bukannya dua seperti didakwa KAFA sebelum ini.

Malah, katanya ada dalam kalangan pemain yang masih belum menerima tunggakan gaji berkenaan namun, mereka tidak berani bersuara kerana terikat dengan kontrak.

“Saya pun tidak faham, mengapa KAFA sanggup mengeluarkan kenyataan mereka sudah membayar dua bulan gaji untuk Januari dan Februari kepada pemain dan pegawai, Selasa lalu.

“Padahal, sebaliknya berlaku apabila bukan semua mendapat dua bulan itu. Ada yang dapat sebulan. Ada yang dapat separuh dan ada juga yang tidak dapat langsung,” katanya yang enggan namanya didedahkan menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, bagaimana pasukan hendak fokus kepada permainan sekiranya diganggu ‘masalah luar’, malah, tidak adil jika pemain terpaksa bermain disebabkan terikat dengan kontrak sedangkan pengurusan masih tidak menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

Katanya, dia agak kecewa kerana masalah sama terus berulang saban tahun hingga mengundang malu kepada pasukan lain.

“Kalau pasukan jadi terkenal disebabkan kehebatan, itu membanggakan, namun, jika pasukan jadi popular sebab tidak bayar (gaji), sungguh memalukan.

“Saya minta KAFA telus dan jujur dalam menangani setiap masalah dalaman, selain tidak menjadikan pemain serta penyokong mangsa keadaan.

“Jika kita boleh kekalkan kemenangan di laman sendiri, jumlah bilangan penonton pasti bertambah dan (jumlah) kutipan tiket juga meningkat, sekurang-kurangnya boleh menampung bayaran gaji pemain,” katanya.

Arena Metro pada 18 Februari lalu mendedahkan, KAFA gagal menyelesaikan tunggakan gaji sekurang-kurangnya satu bulan kepada pemainnya.

Bagaimanapun, KAFA menerusi kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor berkata, persatuan itu melangsaikan gaji tertunggak Januari dan Februari kepada pemain dan pegawai pasukan, Selasa lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");