Berita Hari Ini

Masyarakat jangan terus menghukum Selva Kumar

SHAH ALAM:Sejak kepulangan bekas banduan S Selva Kumar minggu lalu, kebanyakan masyarakat meletakkan stigma, perkara lama pasti berulang kembali.

Malah ada yang mula takut dengan Selva Kumar, tak kurang yang menyatakan sokongan terhadapnya untuk kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Memetik sumber laporan Sinar Harian mendapati rata-rata masyarakat tempatan tidak takut dengan Selva Kumar.

Linda Kamal, 30, berkata, sebagai rakyat prihatin, seharusnya semua pihak memainkan peranan dalam memberi peluang kepada setiap orang yang pernah melakukan kesalahan.

“Kalau nak bimbang, bukan hanya pada Selva Kumar, malah ramai lagi penjenayah di luar ni yang perlu diambil berat.

“Saya berwaspada pada banyak perkara dan bukan hanya untuk satu individu sahaja,” katanya.

Seorang lagi, Ziha Nasir, 42, pula berharap masyarakat tidak terus memulaukan Selva Kumar.

“Dia sudah pun menjalani hukuman. Dalam tempoh 24 tahun di penjara, saya yakin dia banyak belajar daripada kesilapan lampau.

“Usahlah kita terus menghukum. Berilah peluang pada dia dan keluarga untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” katanya.

Seorang lagi, Jannah Adenan berkata, walaupun pada awalnya, dia begitu bimbang dengan pelbagai cerita, namun dia tetap positif.

“Saya ada anak perempuan berusia belasan tahun. Sebagai ibu, sudah pasti saya bimbang. Tapi, saya tidak mahu terus menghukum. Saya juga tidak mahu mematikan diri dalam rumah semata-mata takut perkara yang tidak diingini berlaku.

“Sebagai ibu, saya terapkan nilai positif kepada anak saya dan mengajar cara menjaga diri ketika berada di tempat awam,” katanya.

Bagi Afrizal Arifin, sebagai ayah kepada dua anak, dia tidak mahu masyarakat terus melabel setiap kesalahan orang lain.

“Sudah tiba masanya, kita membantu pihak berwajib dengan sama-sama memberi sokongan kepada mereka yang sudah insaf.

“Saya tidak mahu masyarakat hari ini hidup dalam keadaan tidak harmoni dan saling benci-membenci.

“Bagi saya, apabila wujud perasaan dan prasangka negatif, ia adalah penyumbang kepada perkara tidak sihat,” katanya.

Selva Kumar dijatuhi hukuman 24 tahun penjara di Kanada sejak 1992 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Ontario kerana merogol dan melakukan serangan seksual terhadap hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Berasal dari Perak dan menetap di Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian di Kanda, Selva Kumar dikatakan dari kalangan keluarga yang berpendidikan tinggi.

Memetik laporan media asing, pihak berkuasa di penjara mendakwa Selva Kumar tidak menyesal dan mungkin akan mengulangi perbuatan jenayahnya iaitu rogol dan cabul.

Bagaimanapun, keluarga dan rakan rapat Selva memaklumkan perogol bersiri itu telah bertaubat dan telah berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");