KOTA TINGGI : Memasuki hari ke dua operasi mencari dan menyelamat (SAR), pasukan penyelamat akhirnya menemui mayat lelaki yang terjatuh dari jambatan Kota Tinggi petang tadi.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Kota Tinggi, Firdaus Ahmad berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 4.20 petang oleh pasukan penyelamat dekat kawasan perairan berhampiran jambatan pintasan Kota Tinggi.
“Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu dijumpai dalam keadaan terlungkup di permukaan air.
“Mangsa dipercayai dikenali sebagai Ghandi, 34 selepas warisnya tampil pagi tadi memaklumkan tentang kehilangan ahli keluarga mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.
Firdaus berkata, operasi SAR hari ini melibatkan kekuatan anggota dan jumlah bot yang sama iaitu empat buah bot.
Bagaimanapun keluasan pencarian ditambah iaitu sejauh 15 kilometer berbanding 10 kilometer semalam.
Tambahnya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi urusan bedah siasat.