Jenayah

Mayat Pelajar Ditemui Dengan Kesan Tikaman

KOTA TINGGI : Mayat seorang penuntut yang menjalani praktikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka ditemui dengan kesan tikaman dalam kebun kelapa sawit, Ladang Teluk Sengat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Muhammad Azim Nazri Samsuddin, 21 ditemui dalam keadaan terbaring tidak bernyawa dan terdapat kesan berlumuran darah.

Ujarnya, siasatan mendapati kira-kira jam 11 pagi mangsa ada meminjam motosikal rakannya untuk melakukan rondaan di kebun kelapa sawit di bawah Jabatan AAR, di kawasan ladang berkenaan.

Setelah waktu bekerja tamat kira-kira jam 1.30 petang, mangsa bagaimanapun masih belum pulang sehinggalah jam 3 petang.

Lanjutan dari itu, pada jam 4.50 petang beberapa rakan sekerjanya berpecah dan memulakan pencarian dalam kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

“Kira-kira jam 6.00 petang, rakan sekerjanya berjaya menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa. Ekoran itu, Ketua Polis Balai Teluk Sengat dan anggota Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pegawai Penyiasat bergegas ke lokasi kejadian. Anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK), Unit Forensik dan K9 IPK juga turut membantu siasatan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, lokasi kejadian adalah laluan jalan ladang menuju ke Pekan Teluk Sengat. Jarak lokasi tempat si mati ditemui lebih kurang 300 meter dari jalan ke Pekan Teluk Sengat,” katanya, lapor Sinar Harian.

Tambah Rahmat, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berpakaian baju-T berkolar warna biru dan berseluar jeans biru serta berkasut getah warna hitam.

Tiada sebarang dokumen ditemui pada si mati dan pemeriksaan pada badan mangsa menjumpai satu kesan tikaman di belakang badan sebelah kiri paras dada.

Sebilah pisau berukuran 36 cm turut ditemui pada jarak 76 kaki daripada tempat mangsa dijumpai. Turut ditemui sebuah motosikal yang digunakan oleh mangsa di tempat kejadian.

“Mangsa sedang menjalani latihan praktikal selama tiga bulan di Ladang Teluk Sengat pengkhususan dalam bidang Perladangan dari UiTM Jasin, Melaka dan akan selesai praktikal pada 6 Mac ini.

“Punca dan motif kejadian setakat ini masih belum diketahui dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan. Proses bedah siasat sedang berjalan Hospital Sultan Ismail. Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");