Perak Hari Ini

Menteri Besar Harap MBI Dapat Naiktaraf, Indahkan TKK

IPOH : Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta agar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menaiktaraf kawasan Medan Selera Taman Kanak-Kanak (TKK), Jalan Dato Tahwil Azhar, di sini.

Beliau yang ditemui selepas mengadakan lawatan mengejut ke TKK menegaskan bahawa kawasan itu dilihat kelihatan agak terbiar tetapi dalam masa yang sama ia terus menjadi tumpuan ramai kerana mempunyai gerai-gerai makan dan terletak di sebelah Gerbang Malam.

Zambry menambah, masalah yang dihadapi kawasan itu termasuklah masalah bau busuk ketika hujan disebabkan sistem aliran air longkang yang tidak terurus

“Seperti kita sedia maklum, TKK terletak di tengah bandaraya dan merupakan satu kawasan yang cukup lama menjadi tumpuan.

“Oleh kerana proses pembangunan yang berlaku disekeliling kawasan ini menyebabkan TKK agak terbiar dan tenggelam disebalik bangunan-bangunan berhampiran.

“Saya lihat mereka yang berniaga dan dibelakang gerai mereka, ianya agak tidak terurus disebabkan longkang tersebut kecil dan menimbulkan bau busuk ketika hujan.

“Saya juga telah melihat tandas awam juga tidak terurus disebabkan keadaannya yang begitu lama,” katanya.

Menurut Zambry, lawatan mengejut berkenaan diadakan susulan menerima maklumbalas di Facebook yang meminta beliau mengadakan kunjungan bagi melihat kawasan tersebut.

Justeru katanya, hasil tinjauan mendapati kawasan TKK sememangnya perlu dinaiktarafkan berikutan ia juga merupakan salah satu tarikan orang ramai di Bandar Ipoh.

“Bagaimanapun, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah memberikan komitmen kepada saya untuk memperbaiki kawasan itu atau mungkin akan membina semula tandas awam kerana ia juga digunakan oleh penjaja dan pengunjung Gerbang Malam,”jelas Zambry.

Kata Zambry, selain masalah lampu di kawasan tersebut, beliau turut meminta agar pihak MBI tidak menebang pokok-pokok yang ada di situ.

“Kawasan ini ada pokok-pokok yang matang dan jarang kalau kita tengok pokok-pokok ini naik dengan begitu rendang dan cantik.

“Kalau kita jaga taman ini, ia akan menjadi satu tarikan yang baik sama ada di waktu siang atau malam.

“Saya juga turut meminta MBI menjaga dari segi lampu-lampu di TKK ini. Apabila kita perbaiki lampu-lampu ini pastinya kawasan ini akan menjadi tumpuan ramai dan akhirnya dapat menghindarkan masalah jenayah, penagihan dadah atau perkara-perkara yang tidak elok,”katanya lagi.

Terdahulu Zambry mengadakan lawatan mengejut ke TKK bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man sekitar jam 5.10 petang.

Beliau turut berkesempatan meluangkan masa kira-kira hampir dua jam meninjau keadaan di sekitar kawasan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");