IPOH: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus menyasarkan usaha mengeluarkan asnaf fakir dan miskin daripada kepompong kemiskinan menerusi pelbagai program yang dirangka pihaknya.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata bagi tahun 2017 pihak mensasarkan peruntukan sekitar RM3 juta menerusi penganjuran pelbagai program dan bantuan khusus buat golongan asnaf.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berkaitan program Mentor Mentee yang terbukti berjaya memberi latihan dan pantauan kepada 37 golongan asnaf dalam bidang perniagaan.
“Hasil perubahan mereka terbesar ialah kini mereka boleh berzakat dan mereka bukan lagi terdiri daripada golongan Asnaf malah menjadi pembayar zakat,” katanya dalam satu sidang media pada Majlis Graduasi Usahawan Asnaf MAIPk di sini hari ini.
Terdahulu seramai 37 orang para peserta yang terdiri daripada golongan Asnaf mendapat pengiktirafan setelah menamatkan tempoh 6 bulan latihan dan pantauan menerusi program Mentor Mentee 2016 kerjasama MAIPk dan Koperasi Belia Islam (KBI) bermula April tahun lalu.
Program dibawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf ini membantu golongan Asnaf terpilih melibatkan projek perniagaan kecil-kecilan dengan bantuan modal dan peralatan dari MAIPk bernilai RM10,000 berserta latihan dan pemantauan selama 6 bulan.
Tambah Amiruddin lagi, pihak MAIPk akan mengkaji keberkasanan program tersebut untuk dilaksanakan pada tahun seterusnya.
“MAIPk mempunyai banyak program dirangka dan kita sasar sekitar 70 orang golongan Asnaf untuk dikeluarkan daripada kemiskinan bagi tahun ini,” katanya.
Sementara itu bagi salah seorang peserta Mentor Mentee, Nur Aishah Md Noor yang mengusahakan perniagaan air soya program tersebut cukup membantu dirinya dari segi ilmu perniagaan dan asas keagamaan.
“Saya datang dengan kosong tidak tahu mengenai produk apa untuk diketengahkan namun setelah mengikuti program ini ia cukup membantu dengan pelbagai idea serta ilmu,” katanya.
Jelasnya lagi, kejayaannya meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kelompok Asnaf antara pengalaman yang cukup berharga buatnya.
Manakala bagi Kamarul Kasman Dahari program tersebut merupakan langkah terbaik bagi bagi meningkatkan pendapatan dalam bidang perniagaan.
“Program ini cukup baik dan membantu saya mengembangkan perniagaan ais krim milik saya dan harapan saya satu untuk membantu diri sendiri dan juga orang lain kelak,” katanya.