Berita Hari Ini

Mindef perkasa aspek pendidikan

KLUANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memperkasakan aspek pendidikan kepada anak-anak anggota tentera yang dilihat sebagai agenda penting yang harus diberi penekanan tahun ini dalam usaha meningkatkan kecemerlangan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemerkasaan terhadap pendidikan itu menjadi hala tuju kementerian itu selaras keputusan yang dicapai pada sesi pemukiman (retreat) kementerian pada hujung bulan lepas.

Beliau berkata, kementeriannya melihat agenda pendidikan sesuatu yang penting pada tahun ini untuk diperkasakan bagi memastikan anak-anak tentera mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Kita putuskan bahawa pendidikan merupakan antara lima agenda paling penting dalam lima teras yang dikenal pasti. Di bawah teras kebajikan anggota dan veteran, pendidikan merupakan aspek baharu yang akan ditumpukan tahun ini selain perubatan.

“Menerusi penekanan pendidikan itu juga, pihaknya akan memperkasakan program tuisyen di lebih 30 sekolah rendah dan sekolah menengah di kem seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas majlis Anugerah Cemerlang Sekolah-Sekolah Parlimen Sembrong, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Lambak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R.Vidyananthan; Adun Paloh, Teoh Yap Kun dan Pegawai Pendidikan Daerah Kluang Shaharudin Basri Ibrahim.

Hishammuddin yang juga merangkap Ahli Parlimen Sembrong berkata, pihaknya kini sedang meneliti peranan yang boleh dimainkan Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia termasuk penyediaan tenaga pengajar.

“Ketika ini program tuisyen ini dilakukan atas secara inisiatif tersendiri panglima atau komandan kem masing-masing. Tetapi pada tahun ini kementerian akan seragamkan untuk semua kem di seluruh negara.

“Sekiranya kita anjakkan pemerkasaannya di peringkat kementerian, maka, lebih ramai anak-anak tentera akan mendapat manfaat daripadanya dan inilah hala tuju Mindef,” katanya.

Hishammuddin berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh menafikan kepentingan aspek pendidikan sekali gus mempolitikkannya demi masa depan anak-anak muda.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");