BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghormati langkah beberapa negeri yang mahu memperketat peraturan kawalan pencegahan penyakit bawaan haiwan di negeri masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata antara langkah yang diambil ialah berkaitan tempoh kuarantin di pusat kuarantin bagi memastikan haiwan yang diimport bebas daripada penyakit.
“Memang kita cuba selaras tetapi kita kena hormati yang mahukan syarat tertentu lebih ketat untuk membendung penyakit seperti kuku dan mulut.
“Ini kerana ada negeri yang berbeza langkah kawalannya yang mana ada negeri yang tidak ada masalah penyakit (kuku dan mulut) tetapi ada negeri yang menghadapi masalah berkenaan dan mahu mengetatkan peraturan bagi langkah pencegahan,” katanya ketika melawat Pusat Kuarantin AMD Agrofarm Sdn Bhd di Kampung Padung, Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Beliau berkata ada sesetengah negeri mengenakan syarat tempoh kuarantin ternakan selama 15 hari dan ada sesetengahnya sehingga maksimum 41 hari.
Katanya terdapat 16 pusat kuarantin di seluruh negara dan 10 daripadanya dikendalikan pihak swasta.
Ahmad Shabery berkata setiap tahun sebanyak 60,000 ekor lembu terutama dari Thailand dibawa masuk bagi meneuhi keperluan dalam negara terutama pada musim tertentu seperti Hari Raya Aidiladha.
“Setiap tahun kita juga membawa masuk sebanyak 165,000 metrik tan daging sejuk beku seperti dari India dan Australia. Jumlah daging ini adalah 70 peratus menampung keperluan tempatan yang mana 30 peratus adalah pengeluaran dalam negara,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu telah memansuhkan Permit Import (AP) dan tidak mengehadkan lagi kuota tertentu untuk membawa masuk ternakan lembu kerana khuatir ia boleh mempengaruhi harga daging.
“Tetapi ini dengan syarat mereka mesti memastikan tahap kebersihan dan kesihatan haiwan itu dititikberatkan kerana ia merupakan soal keselamatan makanan,” katanya.
Sementara itu, kementerian berkenaan sedang membuat penilaian keseluruhan mengenai kerosakan tanaman dan kemusnahan ternakan ketika banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun dukacita dengan beberapa penularan berita tidak benar kononnya kementerian tidak bertindak menyelamatkan ternakan ketika banjir itu.
“Kita sudah membuat pemeriksaan mengenai SOP. Setiap peringkat ada persediaan yang mesti dipatuhi tetapi masalahnya nasihat itu tidak dipatuhi penternak dan ada ternakan yang akhirnya terperangkap,” katanya.
Ahmad Shabery berkata pihaknya juga turut menyediakan makanan kepada ternakan yang terputus makanan dan mengeluarkan nasihat supaya pengusaha ternakan bersiap awal untuk menghadapi banjir.
– Bernama