Berita Hari Ini

Najib jamin kembalikan hak-hak Sarawak

LUNDU – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kepada kerajaan Sarawak dan rakyatnya yang kerajaan persekutuan akan mengembalikan hak-hak negeri yang terhakis secara tidak sengaja daripada Perjanjian Malaysia 1963.

“(Berhubung) hak-hak Sarawak yang telah diambil alih oleh kerajaan persekutuan semasa pelaksanaan Perjanjian Malaysia, kami bersedia mempertimbangkan untuk mengembalikannya kepada Sarawak,” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Medan Selera Lundu di sini.

Beliau berkata perbincangan mengenai perjanjian serta tafsiran perjanjian sedang berlangsung antara kerajaan negeri dan pusat.

“Diharapkan kita dapat mencapai satu persefahaman yang akan mencerminkan hasrat rakyat Sarawak selain memastikan Sarawak rakan kongsi kerajaan persekutuan yang kukuh,” katanya.

Najib berkata, peringkat kedua perbincangan sedang berlangsung dengan pembentukan lima jawatankuasa kerja di bawah setiausaha persekutuan dan setiausaha kerajaan negeri Sarawak untuk meneliti lima topik berbeza.

Jawatankuasa terbabit akan memberi laporan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

Menjawab pertanyaan, Najib berkata tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk perbincangan itu memandangkan isu tersebut adalah kompleks, namun menambah bahawa sesetengah isu pentadbiran telahpun dilaksanakan seperti menambah bilangan guru dan doktor di Sarawak selain meningkatkan pembangunan.

“Peringkat kedua ini lebih rumit kerana melibatkan tafsiran undang-undang,” katanya.

Mengenai tuntutan 20 peratus royalti petroleum untuk Sarawak, Perdana Menteri berkata rundingan masih berlangsung, dan menambah kerajaan persekutuan sedang melihat kaedah kreatif untuk membantu Sarawak.

“Saya belum boleh mendedahkannya pada masa ini namun kita akan tengok bagaimana kita boleh bantu Sarawak,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");