Berita Hari Ini

Nautical Aliya Dibenarkan Berlabuh di Teknaf

KUALA LUMPUR: Misi bantuan kemanusiaan yang diterajui Malaysia menerusi pelayaran kapal Nautical Aliya dibenarkan untuk memasuki pelabuhan Teknaf, Bangladesh.

Perkhabaran positif itu diperoleh awal pagi tadi susulan pertemuan antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md Shahidul Islam, tengah hari semalam.

Menerusi kenyataan, Kementerian Luar menjelaskan isu melingkari misi kemanusiaan yang membawa bantuan 2,200 tan makanan dan ubat-ubatan itu berupaya diselesaikan hasil hubungan akrab antara Kerajaan Malaysia dan Bangladesh.

“Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Bangladesh susulan kesudian mereka untuk memberi laluan kepada kapal misi Food Flotilla For Myanmar dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap pelarian Rohingya yang tinggal berdekatan pelabuhan Teknaf,” katanya, memetik sumber Berita harian.

Terdahulu pada Sabtu, pelepasan misi kemanusiaan diketuai Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, di Boustead Cruise Centre, dekat Pelabuhan Klang.

Kapal yang membawa 2,200 tan makanan, keperluan perubatan, pakaian dan selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon, sebelum meneruskan perjalanan ke Teknaf serta kem pelarian di Bangladesh.

Teknaf adalah pelabuhan terdekat dengan 65,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh yang melarikan diri dari Myanmar sejak 9 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun,sebelum ini media melaporkan misi berkenaan mendapat tentangan Kerajaan Bangladesh yang tidak membenarkan ‘Misi Kemanusiaan-Food Flotilla for Myanmar’ memberi bantuan kepada pelarian Rohingya negara terbabit.

Sehubungan itu, Anifah menyuarakan kekesalan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan itu dalam pertemuan dengan Md Shahidul, selain berharap supaya Kerajaan Bangladesh mempertimbangkan kelulusan terhadap penyaluran bantuan kemanusiaan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");