Jenayah

Nelayan Temui Rangka Bot Katamaran Di Membakut

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada rangka bot yang ditemui oleh nelayan di perairan Membakut, dekat Beaufort adalah bot katamaran yang karam bersama 31 kru termasuk 28 pelancong China di Pulau Mengalum, 28 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, unit penyelam telah dihantar untuk melakukan siasatan lanjut.

“Kita mengesahkan penemuan satu rangka bot di perairan Membakut pada tengah hari semalam dan menghantar unit penyelam untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi itu yang masuk hari ke-24 hari ini, belum menemukan petunjuk baharu.

Beliau berkata, sektor pencarian kini meliputi kawasan seluas 300 batu nautika persegi di perairan Sabah, Miri di Sarawak dan Brunei.

“Operasi pencarian membabitkan sembilan aset, termasuk satu milik agensi keselamatan Brunei,” katanya di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian pada 28 Januari lalu, bot katamaran membawa 31 orang termasuk 28 pelancong China pecah sebelum karam di perairan Pulau Mengalum, dipercayai akibat dipukul ombak kuat.

Kejadian itu mengakibatkan 22 orang terselamat, enam disahkan mati dan tiga termasuk seorang kru bot warga tempatan masih hilang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");