Jenayah

NGO Buat Laporan Polis Terhadap Tun M

MUAR: Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil menyatakan bantahan terhadap kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa negeri Johor menyerahkan tanah kepada warga China.

Pengerusi Penyelaras Majlis Gabungan NGO Melayu (GABUNG) daerah Muar, Abd Shukor Abd Rahman, berkata bantahan ini dilakukan kerana Dr Mahathir dilihat cuba memainkan politik ketakutan dan perkauman di negeri ini.

“Dr Mahathir jangan memutar belit terhadap pelaburan China di Johor. Sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan, ia boleh menyebabkan pelabur asing tidak mahu melabur di negara kita.

“Justeru itu, kami membidas sekeras-kerasnya sikap Dr Mahathir yang oportunis mengenai pelaburan dari negara China di kawasan Forest City,” katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hari ini memetik sumber Berita harian.

Terdahulu, tujuh wakil NGO dari daerah ini membuat laporan polis di IPD Muar bagi mendesak satu siasatan dilakukan terhadap kenyataan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.

NGO terbabit ialah Persatuan Kebajikan Kampung Kenangan Tun Dr Ismail Bakri, Persatuan Belia Pesta, Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor, Persatuan Belia 4B Daerah Muar, Yayasan Kanser Malaysia (YKM) Johor, Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Gemilang Sungai Abong dan Persatuan Sri Maha Kaliamman Muar.

Abd Shukor berkata, pihaknya berpendapat Dr Mahathir juga kini cuba memainkan politik ketakutan dan perkauman dalam cubaannya untuk menghalau pelabur dari negara China ke Johor.

“Dr Mahathir juga sudah keterlaluan dengan memutar belitkan isu ini dengan memberi gambaran seolah olah Johor menyerahkan tanah kepada rakyat China, selain turut membandingkan bagaimana kita menyerahkan Singapura kepada British.

“Justeru, pada pendapat kami, apakah pembeli warga asing ini dapat membawa balik unit ‘apartment’ itu ke negara mereka atau seinci tanah yang ditambak ini?. Sedangkan ia hanyalah unit kondominium serta unit strata sahaja,” katanya.

Beliau berkata, projek pembangunan campuran di Forest City ini juga bukan hanya untuk pelabur dari China semata-mata tetapi sesiapa sahaja dari seluruh dunia termasuk rakyat Johor sendiri boleh membuat pelaburan di kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga turut menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkaitan isu terbabit sebelum ini dan Johor akan tetap menjadi Johor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");