Berita Hari Ini

‘Orang baik Yang Bantu Achik’

PASIR GUDANG: Hati ibu siapa yang tahu apabila anak kurang upaya (OKU) yang ditinggalkan di rumah bersama suami, tatkala dia keluar mencari rezeki tiba-tiba dimaklumkan hilang kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Mujurlah, remaja OKU kategori masalah pembelajaran itu ditemui seorang lelaki, sedang berkeliaran di Terminal Bas Larkin sebelum menghubungi keluarga berkenaan selepas berita mengenai kehilangannya tular di media sosial sejak malam kelmarin.

Ibunya, Siti Julia Saman, 45, berkata, dia dihubungi seorang lelaki kira-kira jam 1 pagi semalam mengenai anaknya, Muhammad Nizam Azhari atau dipanggil Achik, 14, yang telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas diserang sawan.

Menurutnya, perasaannya cukup lega sebaik bergegas ke HSI dan mendapati anaknya dalam keadaan baik sedang menerima rawatan akibat sawan yang dihadapinya.

“Achik jarang bermain kat bawah blok, tapi semalam (kelmarin) boleh pula dia turun dari rumah di tingkat dua.

“Merata saya bersama suami mencari Achik sehingga tidak boleh tidur lena memikirkan keselamatan dia yang tidak sempurna seperti remaja lain,” katanya yang ditemui pemberita di rumahnya di Taman Cendana, di sini, semalam memetik laporan Sinar Harian

Tambahnya lagi, Achik juga dilihat agak letih selepas dibenarkan keluar dari HSI kira-kira jam 6 pagi semalam.

Menurutnya, kehilangan itu merupakan kali kedua berlaku selepas kali pertama terjadi ketika Achik berumur enam tahun, tetapi ditemui semula dalam tempoh sejam di Taman Scientex.

“Saya tak pasti macam mana Achik boleh sampai ke Larkin, tapi sangat bernasib baik dia ditemui oleh orang baik yang sanggup menghubungi ambulans selepas diserang sawan.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyebarkan berita di laman sosial sehingga anak saya ditemui semula.

“Dan terima kasih yang tidak terhingga kepada individu yang menjaga dan memberi makan anak saya sehingga dia berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");