Berita Hari Ini

Pantau rapi pesalah seksual

KUALA LUMPUR:Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye mengesa supaya Kerajaan tidak mengguna pakai pendekatan ‘double jeopardy’ atau tiada hukuman berganda terhadap pesalah seksual.

‘Double jeopardy’ merujuk kepada prosedur pembelaan yang melarang tertuduh daripada didakwa atas kesalahan sama selepas pesalah dibebaskan atau pernah menjalani hukuman berkaitan.

Malah beliau mencadangkan agar pesalah dipantau rapi oleh pihak polis sekembalinya ke negara ini.

Memetik sumber Berita Harian ujarnya, ia berikutan wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila mengetahui seorang perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah, akan dihantar pulang ke tanah air selepas menjalani hukuman di Kanada.

Katanya, ia sekali gus meresahkan orang ramai yang khuatir Selva Kumar akan menjadi seorang pedofilia.

“Oleh sebab itu, kerajaan digesa tidak menangguhkan lagi pembentangan Rang Undang-undang Jenayah Seksual Kanak-kanak yang mampu menangani perkara ini, termasuk isu pornografi, penderaan seksual dan ‘grooming’ membabitkan kanak-kanak.

“Apabila diluluskan kelak, ia akan menjadi pelengkap kepada Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 yang membawa hukuman lebih berat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye juga menyokong cadangan untuk menyediakan mahkamah khas di bawah undang-undang baharu itu kerana ia dapat mempercepatkan perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Malah beliau turut mencadangkan agar hakim dan pihak pendakwa di mahkamah khas adalah mereka yang mahir dalam bidang berkenaan, selain kes terbabit perlu diselesaikan dalam tempoh setahun.

“Saya turut menyokong peruntukan yang membolehkan pihak ketiga membuat laporan berkaitan kes penderaan kanak-kanak kerana pada masa ini, hanya keluarga terdekat, doktor dan penjaga kanak-kanak diberi tanggungjawab.

“Saya yakin, peruntukan ini amat penting bagi memastikan orang ramai menjalankan peranan mereka untuk menangani masalah penderaan kanak-kanak seperti yang terjadi di sebuah taman asuhan dekat Bangi, Selangor apabila tiga kanak-kanak diikat dan mulut disumbat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");