GEORGETOWN: Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sehubungan itu, Lim berkata, kegagalan PAS mentadbir negeri itu menyebabkan rakyat Kelantan masih miskin dan berada dalam keadaan mundur.
“PAS tadbir negeri gagal, PAS adalah sebuah parti gagal yang tadbir negeri gagal dan bankrap di mana rakyat masih miskin dan mundur.
“Di mana mangsa banjir (selepas) tiga tahun masih belum dapat rumah, di mana 100,000 hektar hutan ditebang dan ditarah kerana (kerajaan negeri) tiada sumber wang, ” katanya, lapor Berita Harian
Terdahulu, Guan Eng turut menyelar Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendakwa berlaku campur tangan politik dalam proses pemilihan mufti dan urusan fatwa di negeri itu.
Guan Eng berkata, ketika ini Orang Asli di Kelantan turut berdepan masalah apabila mereka dihalang masuk ke kawasan mereka.
“Ini adalah negeri gagal, untuk menutup (kegagalan), mereka mainkan sentimen perkauman. Ini sesuatu yang jahat hendak lawan prinsip dan moral. “Saya percaya Islam tidak benarkan sentimen perkauman, tetapi ini yang dimainkan PAS,” katanya.