Jenayah

Pasangan Kekasih Ditahan

MARANG : Polis Terengganu berjaya menahan pasangan kekasih yang dipercayai terlibat dalam kes pecah kereta di masjid-masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat di negeri ini dan Kelantan di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, penahanan suspek lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 32 tahun itu dibuat, susulan laporan polis yang diterima 19 Februari lalu.

“Pada Ahad lalu seorang lelaki mengadu keretanya dipecah ketika dia sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Merchang di sini, kira-kira jam 6.45 pagi dan mengalami kerugian apabila wang tunai RM2000 dilarikan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah menahan pasangan terbabit di sebuah kedai serbaneka di Chabang Tiga sehari selepas laporan diterima daripada pengadu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ujarnya lagi, kedua-dua mereka yang juga didapati positif dadah itu ditahan di sebuah kedai serbaneka pada Isnin lalu.

Polis turut berjaya menemui semula sebanyak 69 keping kad pelbagai jenis iaitu kad ATM, kad debit, kad kredit serta kad-kad lain hasil daripada pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki pasangan terbabit ketika operasi dijalankan.

Turut ditemui pelbagai peralatan lain termasuk lima buah telefon bimbit, dua tablet, dua modem, satu external hard disk dan juga sebuah lap top berjenama serta dua batang spanar dan dua batang screw driver dalam kenderaan itu.

Wan Abdul Aziz berkata, hasil siasatan juga mendapati pasangan terbabit aktif dalam kes berkaitan dan dipercayai terlibat dalam 13 kes pecah kereta berlaku di Marang (2), Kuala Terengganu (8) dan juga di begeri Kelantan (3).

“Suspek wanita dari Terengganu yang juga mempunyai rekod pernah terlibat dalam jenayah pecah kereta sebelum itu dan suspek lelaki berasal dari Kelantan terbabit kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");