Jenayah

Pelajar tingkatan lima dakwa ditumbuk dan ditendang guru

KUALA NERANG: Seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di sini, membuat laporan polis mendakwa ditumbuk dan ditendang oleh seorang guru lelaki sehingga lebam dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Wan Mohamad Haziq Yusri, 17, mendakwa kejadian berlaku di luar kelasnya kira-kira 9.30 pagi Selasa selepas dia ditangkap menyelitkan kertas pembungkus nasi di celah cermin tingkap kelas.

Dia berkata guru itu yang ternampak perbuatannya datang dan memarahinya sebelum menyuruhnya memungut kertas pembalut tersebut dengan mulut.

“Bagaimanapun kertas bungkusan itu tiba-tiba jatuh dan saya mengambilnya dengan tangan menyebabkan guru itu marah dan mengarahkan saya memasukkan bungkusan itu ke dalam mulut saya pula,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Wan Mohd Haziq mendakwa dia mengaku bersalah dan memohon maaf selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu, namun guru berkenaan tiba-tiba menendang kaki kanannya beberapa kali sebelum menendang dadanya.

Katanya akibat tendangan itu dia terasa sakit dan sukar bernafas sehingga terpaksa meminta kebenaran pulang awal daripada guru kelasnya.

Wan Mohd Haziq mendakwa dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Nerang susulan lebam pada kaki serta sukar bernafas.
Sementara itu, bapa pelajar berkenaan, Yusri Hanafi, 45, berkata dia tidak marah sekiranya guru tersebut merotan anaknya demi tujuan mendidik, namun perbuatan menendang berkenaan adalah keterlaluan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. — Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");